Pelajar UMT Maut Digilis Bas Bakal Berkahwin
Marang:
Impian seorang lelaki menikahi wanita pilihan hati tidak lama lagi tak
kesampaian apabila bakal isterinya maut digilis bas ekspres akibat terjatuh
selepas motosikal ditunggangi terbabas dalam kemalangan di Kampung Rhu Rendang,
di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.20 petang, Amira Farhana Abdul Rahman,
24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan
Perniagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Azmi Safuan
Ahmad, 23, berkata, walaupun kehilangan tunangnya secara mengejut, dia reda
dengan ketentuan Allah.
Menurutnya, dia dan pasangannya yang juga bekas Setiausaha
Kerja Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Kebangsaan bertunang
sembilan bulan lalu sebelum merancang bernikah Mac tahun depan.
“Kami sepatutnya bersama hari ini (semalam) untuk
mengendalikan program bersama anak yatim di Asrama Anak Yatim Majlis Agama
Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Batu Rakit, Kuala Nerus, tetapi
Allah lebih menyayanginya dan menjemputnya terlebih dulu,” katanya di rumah
mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, di sini, awal pagi
semalam.
Katanya, kali terakhir dia menghubungi tunangnya pagi
kelmarin untuk memberitahu bahawa dia tiba di Hentian Bas Majlis Bandaraya
Kuala Terengganu jam 5.30 pagi.
“Saya pulang ke Kuala Terengganu kerana mahu bersama arwah
menyertai program bersama anak yatim sebagai tanda sokongan. Ketika
menghubunginya waktu itu, arwah memberitahunya dia letih dan mengantuk kerana
tidak tidur disebabkan menyelesaikan banyak tugasan universiti.
“Ketika itu, saya tidak menyangka perbualan kami adalah yang
terakhir sebelum dia pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya.
Amira yang juga penuntut Universiti Malaysia Terengganu
(UMT) aktif dalam program kemasyarakatan anjuran PERMATA dan kerajaan negeri.
Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi
Ali berkata, mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal ditungganginya
terbabas dan terjatuh sebelum digilis bas ekspres ketika menghampiri
persimpangan lampu isyarat Kampung Rhu Rendang 15 kilometer dari Kuala
Terengganu,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan