8 Wanita Iran Menyamar Lelaki Tonton Bola Sepak Ditahan.
Teheran – Lapan wanita Iran ditangkap pihak polis kerana
didapati menyamar dengan berpakaian seperti lelaki supaya mereka boleh menonton
sebuah perlawanan liga bola sepak lelaki tempatan.
Undang-undang syariah di negara Syiah itu mengharamkan
wanita daripada menyaksikan perlawanan sukan secara langsung di kawasan lelaki
yang menjadi penonton. Mereka dilaporkan media ditahan di Staidum Azadi di
sini.
Kelapan-lapan suspek cuba menyamar bagi membolehkan mereka
menonton perlawanan antara Esteghlal FC menentang Persepolis FC pada 12
Februari lalu, tetapi kini berdepan dengan tindakan undang-undang moral.
Ketua Keselamatan ibu kota Iran itu, Alireza Adeli
dilaporkan berkata kepada agensi berita Memri, bahawa ini bukan kali pertama
perkara sebegitu dikesan masih lagi berlaku meskipun sudah diberi peringatan
beberapa kali.
“Pengharaman itu
bertujuan untuk menjaga maruah wanita kerana situasi persekitaran, kekecohan
dan orang ramai bercampur gaul bebas secara terbuka di sekitar stadium
sebenarnya bukan tempat yang baik untuk mereka sendiri.
“Golongan wanita yang ingin lihat perlawanan masih boleh
berbuat sedemikian dengan menonton menerusi TV, yang menyiarkan perlawanan itu
dan memberi semua orang peluang untuk menyaksikan secara langsung.”
Mereka malahan boleh menghadiri perlawanan di stadium jika
ia hanya melibatkan penyertaan pasukan wanita sahaja tanpa penonton lelaki.
Peraturan ketat itu dilaksanakan sejak 1982 susulan kebangkitan Revolusi Iran.
Kelapan-lapan wanita itu kini akan dikenakan dakwaan di
sebuah mahkamah syariah. Menurut media antarabangsa, selain mengharamkan wanita
ke stadium bola sepak, undang-undang ketat Iran juga diperluaskan tahun lalu.
Ini termasuk melarang wanita berbasikal di tempat awam.
Ketua kerohanian tertinggi Syiah Iran, Ali Khamenei mengeluarkan fatwa melarang
aktiviti wanita berbasikal di jalanan dengan alasan ia akan menarik perhatian
lelaki.
Antara tindakan lain di negara itu yang boleh membuat mereka
ditahan ejen polis syariah termasuk memuat naik gambar tanpa berhijab dan video
mereka menyanyi selain tidak memakai hijab. – Agensi

Ulasan
Catat Ulasan