Mengenal Selva Kumar Subbiah Perogol Bersiri Malaysia
Siapa
Selva Kumar Subbiah? Selva Kumar yang didapati bersalah melakukan serangan
seksual terhadap berpuluh wanita di Toronto, Kanada pada tahun 1992.
Dalam tempoh tiga hari lagi, pesalah perogol bersiri, Selva
Kumar Subbiah akan kembali ke negara dari Kanada dan pihak polis mengakui tiada
jaminan bahawa dia tidak akan melakukannya lagi.
Bagaimanapun, peguam di Malaysia mengatakan tidak ada
apa-apa yang boleh melindungi rakyat Malaysia daripada penjenayah bersiri itu.
Seorang pegawai polis bersara di Kanada yang pernah
ditugaskan menyiasat perogol bersiri Malaysia, Selva Kumar Subbiah lebih 2
dekad lalu memberi amaran lelaki itu akan menjadi ancaman kepada masyarakat
sekembalinya ke Malaysia.
“Jika dia mahu tinggal di Malaysia atau di mana saja, adakah
dia akan terus (melakukan jenayah) walaupun pada usianya sekarang? Ya,” kata
Brian Thomas bersama rakan sekerjanya, Peter Duggan yang menahan lelaki berusia
56 tahun itu yang dilabelkan penjenayah seks paling berbahaya di Kanada oleh
pihak berkuasa negara itu.
“Kita perlu ingat, ini bukan mengenai seks. Ia tentang kuasa
dan kawalan. Dia adalah kuasa dan kawalan sepenuhnya ke atas mangsanya,” kata
Thomas kepada CanCrime, sebuah blog jenayah dikendalikan wartawan penyiasatan
Kanada yang pernah memenangi anugerah, Rob Tripp.
Selva Kumar dijangka pulang ke Malaysia Ahad ini, selepas
menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada.
Bagaimanapun, peguam Datuk Baljit Singh Sindhu berkata,
Selva Kumar sudah menjalani hukumannya di Kanada.
“Selain rekod jenayah itu, dia adalah seorang yang bebas.
Polis tidak boleh menyentuhnya melainkan jika dia melakukan jenayah lain di
sini,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Manakala peguam Amer Hamzah Arshad berkata, di bawah sistem
keadilan, penjenayah yang telah menerima hukuman perlu diberi peluang kedua.
Mengenai cadangan pendaftaran pesalah seks, Amer berkata perlu ada kajian
menyeluruh dan mendalam sebelum sistem itu boleh dilaksanakan.
“Terdapat pro dan kontra. Mempunyai undang-undang atau
pendaftaran itu boleh sesuai untuk pesalah seks ganas dan berulang-ulang tetapi
mungkin terdapat beberapa bekas pesalah yang tidak akan melakukan kesalahan itu
lagi.
“Ia mungkin menyukarkan bekas banduan untuk memulakan hidup
baru, “katanya.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
berkata, Selva Kumar yang didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap
berpuluh wanita di Toronto, Kanada akan dipantau dengan teliti sebaik sahaja
tiba di Malaysia.
Khalid berkata Selva Kumar akan dipantau berdasarkan rekod
jenayah dan melalui bidang kuasa dan kuasa yang sedia ada.
Tidak banyak yang diketahui mengenai Selva Kumar kecuali apa
yang didedahkan di mahkamah berdasarkan keterangan yang diberi.
Malah hampir tiada siapa yang mengingatinya ketika
pengajiannya di Kolej George Brown di Kanada memandangkan dia seorang yang
pendiam dan tenang.
Begitu juga ketika dia belajar di Pulau Pinang dan salah
seorang pengawas yang masih mengingatinya menggambarkan Selva Kumar seorang
‘pengganggu dan suka bertengkar.
Pada 1992, dia didapati bersalah atas 19 pertuduhan serangan
seksual, 28 pertuduhan penggunaan bahan larangan seperti dadah dan 10
pertuduhan pelbagai serangan serta kesalahan lain, termasuk peras ugut.
Pada mesyuarat lembaga parol minggu lalu, Selva Kumar
berkata, dia mempunyai “pelan pembebasan berstruktur” untuk kebebasannya di
Malaysia dan juga “sokongan keluarga yang kuat”.
“Mengarut,” kata Thomas ketika ditanya mengenai jaminan
bekas banduan itu, tetapi menambah beliau tahu latar belakang Selva Kumar,
“sebuah keluarga yang kaya di Malaysia”.
Paling teruk
Dalam wawancara audio selama 35 minit bersama Cancrime,
Thomas mengimbas kembali pengalaman mengejutkan daripada lebih 500 wanita yang
membantu siasatan polis.
Katanya, kes Selva Kumar adalah yang paling teruk beliau
pernah saksikan sepanjang kerjayanya selama 30 tahun berurusan dengan
penjenayah berbahaya.
“(Dari skala) 1 hingga 10, saya letakkan dia pada skala 15.”
Thomas mengimbau penemuannya sepanjang siasatan dijalankan,
di mana Selva Kumar hampir meyakinkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dia
cuba jadikan sebagai pelacur, membunuh diri dengan terjun dari bumbung sebuah
bangunan.
“(Dia beritahu gadis itu) tunggu sehingga saya turun supaya
saya dapat melihatnya,” katanya sambil menambah gadis itu tiba-tiba mengubah
fikirannya. Ia antara 75 pertuduhan dihadapi Selva Kumar.
1,500 nama dan gambar
Katanya, ramai mangsa Selva Kumar hidup menderita, dengan
sebahagian daripada mereka membunuh diri, ketagihan arak, dadah dan cuba
membunuh diri akibat trauma dengan pengalaman sendiri.
Beliau berkata, apabila menyerbu rumah Selva Kumar, polis
menemui gambar dan video mangsa serta beberapa buka termasuk “sebuah buku besar
berwarna hitam dan merah”, di mana dia “memberi markah” kepada setiap
mangsanya.
Thomas menganggarkan kira-kira 1,500 nama dan gambar wanita
ditemui di dinding.
Katanya, polis menemubual lebih 500 wanita daripada senarai
Selva Kumar dan 120 orang bersetuju memberi keterangan di mahkamah terhadap
penjenayah itu.
Beliau berkata, mangsa adalah wanita muda, ada di antara
mereka terdiri daripada isteri anggota polis, peguam dan wartawan.
Katanya, ramai mangsa tidak sedar mereka diberikan dadah
kerana khayal selepas mereka diperdaya sehingga mempercayai lelaki itu adalah
ejen bagi model.
Rakan subahat cantik dan kaya
Thomas berkata, seorang mangsa Selva Kumar memberitahu polis
bagaimana beliau berada dalam koma dan sedar dengan mendapati dirinya dirogol.
“Air menitis di atasnya dan dia rasa seperti berada di bawah
air terjun. Kemudian beliau membuka matanya. Dia berada di atasnya dan peluh
menitik di wajahnya.
“Kemudian beliau pengsan sekali lagi akibat dadah,” katanya
sambil menambah penjenayah itu akan membawa mangsanya pulang ke rumah sebelum
mereka bangun dan fikir diri mengalami “mimpi buruk”.
Seorang lagi mangsa memberitahu polis bagaimana beliau
bangun pada suatu pagi dan menemui bulu kemaluan orang lain di atas katilnya.
Thomas berkata, Selva Kumar mempunyai rakan subahat wanita
“yang datang dari keluarga kaya”.
Beliau menyifatkan wanita itu “muda, menarik, berambut
perang, berpakaian kemas” yang diberi nama samaran “Laura” dan akan mendekati
wanita muda untuk mempelawa mereka bekerja bagi majikannya.
Bagaimanapun, katanya, suspek wanita itu tidak didakwa
kerana dia bersetuju memberi keterangan bagi menghadapkan Selva Kumar ke
mahkamah, sesuatu yang mengecewakan polis.
Ulasan
Catat Ulasan