Akibat Bercinta Dengan Suami Orang. Wanita 21 tahun Ini Tak Sanggup Di Madukan.
Mula menjalinkan cinta dengan suami orang atas dasar
kebendaan namun tanpa disedari wujud perasaan sayang. Itulah yang dilalui oleh
gadis ini. Ya, hubungan tak berpanjangan apabila dia menemui cinta baru sekali
gus menyebabkan kekasihnya yang juga
suami orang tidak puas hati lalu mendedahkan semua kisah buruk mereka. Ikuti
kisah yang boleh dijadikan pengajaran untuk para gadis di luar sana.
Berusia 21 tahun, rasanya masih terlalu muda untuk bergelar
isteri khususnya kepada lelaki yang sudah mencecah usia 40-an. Saya mengenali
lelaki ini pada saat dia memerlukan saya di sisinya. Sedangkan dia sudah pun
punya isteri yang sangat taat kepadanya.
Sebelum serius menjalinkan hubungan, saya terlebih dahulu
mengenalinya sebagai suami kepada seorang teman. Namun demi keseronokan dan kemewahan
yang dicari, saya ketepikan perasaan itu dengan menerimanya sebagai kekasih.
Saya hanyalah seorang pekerja biasa di salah sebuah premis
dengan gaji yang cukup makan dan amat mustahil untuk saya membeli apa yang saya
kehendaki atau inginkan.
Tetapi selepas mengenalinya, saya mampu memiliki telefon
bimbit berjenama, komputer riba, kereta malah barang-barang kemas yang semuanya
adalah pemberian darinya. Jujurnya saya memang mencintainya malah saya
menerimanya dahulu pun kerana merasakan saya kekurangan kasih sayang akibat
keluarga bercerai berai.
Hampir setahun mengenalinya, empat bulan pertama dahulu,
saya pernah ‘kantoi’ dengan isterinya yang berjaya menghidu hubungan kami. Saya
sanggup berdepan dengan isterinya untuk menceritakan segalanya namun dihalang
lelaki itu.
Dia takut hubungan kami diketahui isteri, malah meminta saya
tidak menceritakan apa-apa kepada isterinya. Saya juga dipaksa mengaku tidak
mempunyai sebarang hubungan dengannya, apalagi mengaku saya ini kekasihnya.
Saya kecewa dengan sikapnya tetapi demi sayang, saya masih
memilih untuk bersama. Sehingga saya sanggup menyerahkan mahkota kesucian
kepadanya. Semuanya saya lakukan kerana dia berjanji akan mengahwini saya
sebagai isteri kedua. Kami merancang bernikah di sempadan kerana dia tidak mahu
isteri dan keluarganya tahu hal ini.
Sebagai makluman, teman lelaki saya ini hanyalah seorang
pemandu di sebuah syarikat bijih besi. Gajinya mencecah hampir RM8000 sebulan
dan ternyata dia memang mampu beristeri
dua dengan gajinya itu. Namun hubungan kami sedikit kendur apabila dia mendapat
tahu isterinya mengandung.
Saya ingin mengundurkan diri daripada hubungan ini. Dia
mungkin akan lebih bahagia bersama isterinya. Malangnya, lelaki itu mengugut
akan membongkar hubungan kami kepada ayah saya. Mengingatkan tentang ugutannya,
saya terpaksa bersabar dan mengikut apa saja kehendaknya kerana tidak mahu hal
ini diperbesarkan.
Kini saya telah berkenalan dengan lelaki lain yang bekerja
sebagai kontraktor di sekitar tempat kerja saya. Sepanjang berkawan dengan
lelaki baru ini, saya sentiasa mengelak daripada bertembung dengan kekasih lama
kerana tidak mahu hubungan saya diketahui teman baru.
Sampai bila hubungan kami ini harus dirahsiakan sehinggalah
saya terfikir lebih baik memberitahu hubungan kami kepada isterinya. Niat saya,
agar kami boleh berkahwin secara baik di Malaysia selain mendapat restu
keluarga.
Tetapi apa yang saya rancang semuanya musnah kerana kekasih
saya tahu mengenai hubungan saya dengan teman baru. Dia meminta saya
memulangkan semua barangan yang dia pernah hadiahkan dahulu. Lebih keji dia
memburukkan nama baik saya dengan mengatakan saya telah dinodai hingga
melahirkan seorang anak.
Saya dipandang hina oleh orang kampung namun nasib saya baik
kerana tidak dibuang keluarga. Keluarga cuma meletakkan semua kesalahan ke atas
diri saya seorang. Adakah semua ini salah saya? Saya ingatkan apabila perkara
sebenar diberitahu kepada keluarga, kami dapat berkahwin secara baik-baik, tak
sangka saya pula dipersalahkan sepenuhnya.
Saya merasakan kehidupan seperti tiada hala tuju. Saya
mungkin tidak akan berkahwin sampai bila-bila kerana saya percaya tiada siapa
dapat menerima keadaan diri saya yang bersalah dan bergelumang dosa.
Saya mahu mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri
pada agama. Tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Bantulah
saya...
Ulasan
Catat Ulasan