Unit Khas Ditubuhkan Bagi Menyiasat Kes Penuntut UPNM Yang Maut Didera.
Johor Baharu – Susulan kes membabitkan seorang penuntut UPNM yang maut didera, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin
Tun Hussein telah menubuhkan satu unit khas bagi melaporkan terus dua perkara
yang berkait dengan kematian seorang Pegawai Kadet Laut baru-baru ini, kepada
beliau.
Hishammuddin berkata unit itu diketuai Panglima Angkatan
Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor merupakan
tambahan kepada lembaga siasatan yang diwujudkan sebelum ini selain daripada
siasatan polis.
Katanya, dengan penubuhan unit itu, beliau berharap dapat
menemu bual sendiri rakan-rakan Allahyarham serta meneliti perkara-perkara yang
perlu ditambah baik dalam sistem latihan dan pengurusan pelatih di Akademi
Latihan Ketenteraan (ALK) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
tanpa ada sebarang karenah birokrasi.
“Saya tidak hadkan hanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sesiapa sahaja yang ada maklumat, boleh membantu kita dalam dua perkara ini
iaitu membawa pesalah ke muka pengadilan serta melihat kepada apa yang perlu
kita tambah baik dan perbetulkan supaya kejadian ini tidak berulang,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen Sembrong berkata
demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham di sini,
Khamis.
Hishammuddin berkata unit tersebut juga akan memastikan
tiada sesiapa terkecuali dalam proses mencari kebenaran kes termasuk para
pensyarah yang mengetahui kes.
“Ia adalah berterusan, yang penting kita mahu mencari
kebenaran dan kita tidak boleh menetapkan masa untuk mencari kebenaran.
“Bagi saya, secara peribadi, semua tahu sejak saya menjadi
Menteri Pelajaran lagi, kes-kes sebegini saya betul-betul mengambil serius,”
katanya yang baru menyedari Allahyarham mempunyai ikatan kekeluargaan bersama
keluarganya.
Sementara itu, dalam kenyataan yang turut diedarkan kepada
media ketika lawatan itu, Hishammuddin memberitahu beliau ketika ini sedang
menunggu laporan siasatan daripada Lembaga Penyiasatan Khas yang ditubuhkan
oleh ATM bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Beliau juga mengarahkan pihak ALK agar mengambil tindakan
menggantung kesemua 32 pegawai kadet yang terlibat, sementara menunggu proses
siasatan selesai.
Kesemua mereka ini juga akan dipecat daripada perkhidmatan
ALK jika didapati bersalah menyembunyikan jenayah kekerasan terhadap
Allahyarham daripada pengetahuan pihak atasan.
Malah, jika terdapat mana-mana pegawai dan kakitangan sama
ada di ALK atau UPNM yang turut mengetahui kejadian tetapi tidak mengambil
tindakan sewajarnya, atau wujud unsur kecuaian dalam melaksanakan tugas, maka
mereka juga harus bertanggungjawab termasuk dipecat daripada perkhidmatan,
tambahnya.
“Saya juga bersedia untuk berbincang dengan Kementerian
Pengajian Tinggi untuk melakukan rombakan terhadap pengurusan dan pentadbiran
UPNM susulan kejadian ini.
“Selain itu, saya ingin mengingatkan mana-mana pihak yang
berkepentingan agar jangan sesekali mengeksploitasikan isu ini demi kepentingan
politik serta memenuhi agenda peribadi.
“Ia termasuk menabur fitnah serta mengesyorkan tindakan
berteraskan nafsu dan hasad dengki terhadap pensyarah, kepimpinan tertinggi
universiti atau mana-mana individu tanpa sebarang justifikasi kukuh dan
bersifat semberono,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Zulfarhan Osman, 21, penuntut tahun ketiga Jurusan
Kejuruteraan Elektrik, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun lepas
akibat kesan lebam dan melecur di badan, dipercayai didera rakan dengan
seterika wap.
Siasatan awal polis mendapati wujud unsur penderaan hingga menyebabkan kematian. – Bernama
Ulasan
Catat Ulasan