Perangkap Maut Di Bekas Lombong Bauksit, Kuantan
KUANTAN – Penduduk yang tinggal
berhampiran dengan bekas lombong bauksit sekitar daerah ini, digesa untuk lebih
berhati-hati kerana kawasan itu berisiko menjadi 'perangkap maut' pada musim
tengkujuh.
Anggota Parlimen Paya Besar Datuk
Seri Abdul Manan Ismail yang menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu
berkata, pada lubang bekas bauksit itu
tidak berbeza dengan kawasan lain kerana digenangi air pada pandangan mata
kasar.
"Bekas lombong itu
dalam dan dikhuatiri jika ada yang terjatuh, khususnya kanak-kanak, mereka
tidak dapat menyelamatkan diri kerana panik atau tidak tahu berenang,"
katanya kepada pemberita semasa ditemui di pusat pemindahan banjir di Sekolah
Menengah Kebangsaan Pandan di sini, hari ini.
Beliau juga berharap pemilik tanah
atau pengusaha bauksit untuk lebih bertanggungjawab kerana masih banyak lombong
bauksit yang tidak dikambus semula walaupun banyak kematian akibat lemas
berlaku.
Abdul Manan meminta ibu bapa untuk
mengawasi dan menasihatkan anak-anak mereka untuk tidak menghampiri kawasan
yang diketahui pernah menjadi lokasi lombong bauksit.
"Bagaimanapun, saya difahamkan
masih banyak bekas lombong bauksit yang dibiarkan begitu sahaja tanpa ada pihak
menggalas tanggungjawab itu, walaupun telah dititahkan berbuat begitu,"
katanya.
Menurut Abdul Manan Pemangku Raja
Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah bertitah supaya bekas lombong
bauksit di kambus semula, selepas insiden pada 4 Feb tahun lalu apabila tiga
kanak-kanak lemas di lombong bauksit Taman Sungai Karang Jaya, di sini.
"Hendak diminta di kambus sekarang memang sudah terlewat
dan tidak boleh dilakukan kerana air sudah bertakung. Saya harap mereka
sekurang-kurangnya boleh memasang tali amaran atau letak tanda amaran sebagai
peringatan," katanya.
Perkara sama disuarakan Anggota
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu yang meminta pemilik atau
pengusaha bauksit untuk mengambil tindakan meletakkan tanda amaran di kawasan
bekas lombong.
Andansura menambah pihak berwajib
dan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk mengadakan
rondaan secara berkala sekitar lombong bauksit bagi memastikan tiada yang
bermain di situ. Sumber: Bernama – Editor: Amylea Nazrul

Ulasan
Catat Ulasan