Bapa Anak Tiga Dipenjara, Pecah Masuk Rumah Hakim
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang juga merupakan bapa
kepada tiga orang anak dipenjara lima tahun oleh Makhamah Seksyen di atas
kesalahan memecah masuk rumah Hakim Makhamah Perseketuan Datuk Balia Yusof
Wahi, dan mencuri barang bernilai sebanyak RM11,300.
Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap
Ahmad Norfais Ishak, 22, selepas lelaki itu yang bekerja sebagai kelindan lori
mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkannya dipenjara
bermula dari tarikh tangkap pada 23 Oktober lepas.
Tertuduh didakwa telah melakukan pecah rumah melalui tingkap
tandas dalam bilik dan telah mencuri barang-barang antaranya seperti tiga buah
kamera jenama Nikon, Go Pro dan komputer riba milik Datuk Balia Yusof, 65, yang
semuanya bernilai RM11,300 di rumah mangsa di Jalan Kent, di sini, pada 6.10
pagi, 22 Oktober lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan
denda dan jika kesalahan yang dimaksudkan hendak dilakukan itu ialah kesalahan
mencuri maka tempoh pemenjaraan itu boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Ernie Ahmad merayu
supaya dikenakan hukuman penjara paling minimum dengan alasan dia telah insaf
dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.
Kata peguam itu, "ketika kejadian, anak guam saya terdesak kerana sedang berdepan dengan masalah kewangan. Dia kini menyedari bahawa mencuri bukan jalan penyelesaian terbaik."
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz
memohon hukuman setimpal kerana itu adalah kesalahan serius agar menjadi
pengajaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Namun selepas mahkamah menjatuhkan hukuman itu, isteri tertuduh
yang berada di galeri awam kelihatan menangis.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa masuk ke rumahnya pada 22
Oktober 2017, pukul 10 malam, beliau mendapati bilik bacaannya berselerak serta
tingkap bilik air terbuka dan hasil pemeriksaan, mangsa kehilangan pelbagai
barang, lalu mangsa membuat laporan polis.
Hasil siasatan mendapati beberapa cap jari yang ditemui di
tempat kejadian sepadan dengan cap jari
tertuduh dan tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap sehari selepas kejadian
iaitu pada 23 Oktober dan berikutan itu beberapa barang milik mangsa juga
ditemui semula. - Sumber: Bernama. Editor: Atila Atasha
Ulasan
Catat Ulasan