Pelajar Samseng Sertai Kongsi Gelap Buli Guru Sekolah.
Alor Setar – Tidak cukup dengan kejadian buli rakan-rakan sekolah, kini guru pun turut menjadi mangsa buli pelajar.
Menurut laporan Berita Harian, terdapat segelintir guru yang menjadi mangsa buli pelajarnya sendiri namun tidak sanggup membuat laporan polis disebabkan masih memikirkan masa depan pelajarnya.
Namun begitu pemikiran sebegitu tidak dapat membantu merubah para pelajar berkenaan malah akan membuatkan mereka bertindak lebih berani lagi melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Guru yang menjadi mangsa buli perlu membuat
laporan segera bagi memastikan keselamatan mereka dan keluarga terjamin.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata
pihaknya mengakui wujudnya kejadian guru dibuli terutama apabila membabitkan
pelajar yang terbabit dengan kongsi gelap.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil dengan melaporkan
kejadian buli terhadap guru kepada polis terutama apabila ia membabitkan
kegiatan kongsi gelap.
“Guru yang menjadi mangsa perlulah tampil serta lapor pada
sekolah dan polis supaya pelajar yang melangkaui batas diambil tindakan
mengikut undang-undang sedia ada.
“Masalahnya sekarang, ada guru malas nak panjangkan cerita
kerana takut keselamatan diri terutama di luar sekolah mereka risau kenderaan
dirosakkan sedangkan tindakan terbabit akan lebih menyusahkan kemudian hari.
“Saya harap guru terbabit fikir keselamatan dengan membuat
laporan kepada polis. Jangan hanya fikir nak jaga nama sekolah atau pelajar
kerana ia perkara serius dan polis mampu menanganinya, ” katanya kepada
pemberita selepas mengadakan lawatan di Kolej Vokasional Alor Setar di sini
hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, S M Mohamad Idris mendedahkan ada
guru yang menjadi mangsa buli sekali gus menyumbang peningkatan kes kongsi
gelap.
Kejadian buli ke atas guru dalam pelbagai bentuk termasuk
diperas ugut dan kenderaan dirosakkan selepas pelajar terbabit ditegur kerana
melakukan kesalahan. – BH Online
Ulasan
Catat Ulasan