‘Saya Malu Nak Ke Sekolah Sebab Tiada Hadiah Untuk Cikgu’
Ketika menjadi pengetua sekolah dulu, suatu pagi seorang imam
masjid yang saya kenal telah menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di
masjid, macam ponteng sekolah.
Hari itu merupakan hari guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak
berada dalam kelas tetapi di dewan dan kawasan lapang meraikan sambutan hari guru.
Saya bergegas ke masjid yang disebut. parking kereta agak jauh
di sudut masjid. Saya mula meninjau ke masjid. Tidak ada di balai lintang,
saya melangkah ke ruang solat.
Tidak ada juga. Tapi ketika beralih ke bahagian
muslimat, saya melihat seseorang dan saya segera ke bahagian itu dan memang ada
seorang pelajar perempuan.
Dia terkejut melihat saya serta bibirnya gemetar mengucap salam
pada saya. Tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh seperti seorang anak
yang takutkan orang tua yang garang.
Dia segera berdiri menghormati saya tetapi saya suruh duduk.
Saya kenal pelajar ini kerana dia pernah naik menerima hadiah keunggulan di
pentas.
"Kenapa ponteng sekolah? Sedangkan awak pelajar terbaik?"
"Tak ada apa cikgu," jawabnya.
Saya tidak puas hati kerana ini bukanlah tabiatnya. Saya terus
mendesak dia bercakap benar.
Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi. Saya
tahu, dia akan berkata benar.
"Pak, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya
tidak ada hadiah untuk diberikan kepada guru sempena hari guru. Ayah tak ada
duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan . Ayah saya kerja jaga,
emak pula sudah meninggal, "katanya teresak-esak.
"Pak, saya malu ditanya oeh kawan-kawan apa hadiah yang dibawa
untuk cikgu. Lebih malu lagi bila ada yang bertanya, 'Nurul tak bawa hadiah ke?'
dan itulah yang terjadi pada tahun lalu, "air matanya deras mengalir di
pipi dikesat dengan kain tudungnya yang sedikit lusuh.
Saya turut merasa sedih dan tidak terucap kata.
Saya menghantarnya pulang ke rumah. Dalam perjalanan fikiran
saya berkecamuk. Ternyata kegembiraan hari guru dan sambutannya telah menyakiti
hati seorang insan bergelar pelajar.
Malah saya yakin lebih banyak lagi pelajar yang miskin
merasa gundah, resah bila tibanya hari guru.
Menjadi kelaziman hari guru 16 Mei disambut oleh pelajar dengan memberi hadiah kepada guru di samping program sekolah.
Memanglah itu
sesuatu yang baik, tetapi banyak orang tua yang miskin, kurang mampu, menghadapi
situasi serba salah bila anak merengek meminta dibelikan hadiah, tak mahu ke
sekolah tanpa hadiah.
Yang kaya meminta hadiah yang lebih baik untuk mengatasi
kawan-kawan. Anak yang telah besar di sekolah menengah mungkin tidak mendesak, tapi
memilih jalan lain untuk menghindar, memendam rasa. Namun, siapa yang peduli?
Maka adalah lebih baik jika hadiah kepada guru itu tidaklah
diberi penekanan, kerana dapat disalah gunakan untuk meraih
perhatian guru dan jika dibuat, biarlah secara tertutup.
Bukan dalam kelas
yang akan menyebabkan pelajar lain terasa. Maksudnya hadiah pada guru biarlah
diserahkan sendiri di bilik guru.
Bagi sekolah di luar bandar yang ibu bapa mereka berpendapatan rendah, lebih-lebih lagilah hal ini perlu diberikan perhatian.
Faktanya, pelajar yang baik bukan memberi hadiah kepada
gurunya tetapi melayani gurunya, berkerjasama dan patuh pada semua perintah.
Hari guru sebaiknya disambut dengan ungkapan rasa
syukur kepada Allah, bukan diungkapkan dengan bersenang-senang suka.
Mungkin
olahraga, sukaneka itu baik untuk mengeratkan hubungan tetapi saya tidak nampak di
mana baiknya cikgu naik melalak menyanyi di pentas, murid menyanyi, menari,
bergelek bagai.
Mungkin acara yang mendidik seperti acara tahlil, bacaan yasin, solat
hajat dan sujud syukur, kenduri satu sekolah, explore race yang bersifat
pelajaran dan sebagainya lebih sesuai.
Guru harus bersykur kerana ada pekerjaan, ada murid. Murid
harus bersyukur kerana ada guru yang mendidik. Ibu bapa patut bersyukur kerana
ada yang mengambil tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka.
Marilah kita berubah bila menyambut sesuatu perayaan dari
bersenang-senang serta bersuka ria kepada ungkapan rasa syukur kepada Allah.
Kepada
ibu bapa, minta anak menghadiahkan hari guru dengan janji untuk menjadi pelajar yang baik, taat, bertanggungjawab dan disiplin, itu lebih bererti kepada seorang guru dari
sekotak hadiah.
Dari kisah yang saya paparkan, jangan kita melihat sesuatu
dari satu sudut, dari situasi dan pandangan kita saja, tetapi berfikirlah dari
berbagai sudut.
Baik pada kita, mungkin melukai perasaan orang lain. Selalulah berfikir
agar kita tidak menyusahkan orang lain, sebaliknya selalulah berusaha untuk
menyenangkan orang lain. Kelak di akhirat Allah gembirakan kita. Wallahu a'lam.
– Abd Ghani Haron-tip&infomasiterkini
Ulasan
Catat Ulasan