Video Dan Luahan Sayu Watson Nyambek “Arwah Bapa Dihina Stesen TV3”
KUALA LUMPUR: Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek
kecewa dengan tindakan sebuah stesen televisyen tempatan yang menghina mendiang
bapanya dalam satu rancangan komedi yang disiarkan malam tadi.
Watson yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100
meter, berang apabila stesen televisyen itu menyamakan bapanya yang meninggal
dunia tiga tahun lalu dengan binatang.
"Saya ada menonton episod itu dan berasa tersinggung
dan kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,"
katanya kepada Bernama hari ini.
Watson berkata, sepanjang karier sebagai ahli sukan sehingga
sekarang tidak pernah mana-mana media membuat penghinaan terlalu peribadi
terhadapnya khususnya melibatkan mendiang bapanya.
"Saya tidak tahu motif sebenar stesen televisyen
tersebut tapi ini satu penghinaan kepada bapa saya,"katanya sambil
menambah stesen televisyen sepatutnya peka dengan sensitiviti masyarakat dan
individu terutama sekali yang telah meninggal dunia.
Watson berkata, tindakan tersebut amat jelas tidak
menghormati sensitiviti keluarga serta saudara-mara mendiang bapanya.
Beliau turut menggunakan laman Facebooknya untuk meluahkan
rasa tidak puas hati kepada stesen televisyen itu.
" Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa saya
terima, nak ketawakan saya apa boleh buat,nasib kita macam tu,tapi bapa saya
bukan binatang untuk dipersendakan." tulisnya dalam Facebooknya.
Luahan Watson mendapat reaksi serta perkongsian ratusan
netizen yang mahu Watson menyaman stesen televisyen berkenaan serta mengutuk
tindakan rancangan tersebut yang menghina individu yang telah meninggal dunia.
Watson yang memegang rekod kebangsaan 100m iaitu 10.30 saat
selama 18 tahun sebelum dipecahkan Khairul Hafiz Jantan yang melakukan 10.18s
pada Sukma Sarawak tahun lepas, diisytiharkan muflis selepas gagal membayar
balik pinjaman bank yang digunakan untuk menanggung kos perubatan bapanya yang
menderita barah telinga.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada status muflis selepas
kerajaan Sarawak membayar balik tunggakkan pinjaman sebanyak RM80,000 itu. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan