Saya Payungkan Raja Salman, Tapi China Dapat Lebih Pelaburan.
JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko "Jokowi" Widodo
kecewa apabila mendapat tahu Arab Saudi melabur sebanyak AS$65 bilion (RM285
bilion) di China, hampir 10 kali ganda 89 trilion rupiah (RM30 juta) yang
dilaburkan ke Indonesia, walaupun beliau memberikan 'layanan istimewa' kepada
Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud semasa kunjungan baginda ke
negara itu bulan lalu.
"Pelaburan (Arab Saudi) di Indonesia besar, tetapi saya
terkejut apabila baginda berkunjung ke China, baginda menantangani (kontrak
melebihi) 870 trilion rupiah," kata Jokowi semasa lawatannya ke Buntet
Pesantren (sekolah agama berasrama) di Cirebon, Jawa Barat pada Khamis lalu.
"Malah, saya payungkan untuk baginda, tetapi kita dapat
jumlah yang lebih kecil. Saya sedikit kecewa, hanya sedikit," tambah
presiden.
Jokowi berkata demikian merujuk kepada kunjungan Raja Salman
ke Istana Bogor di Jawa Barat pada 1 Mac lalu, bagi menyambut rombongan Arab
Saudi semasa hujan lebat.
Jokowi membantu memegang payung untuk Raja Arab Saudi
sehingga tindakan itu mendapat pujian ramai.
Secara umum, layanan kepada kunjungan Raja Arab Saudi dikira
istimewa.
Jokowi sendiri menyambut Raja Salman sewaktu ketibaan
baginda di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur.
Itu belum lagi dengan sambutan polis dan tentera berkuda,
yang jarang-jarang dilihat semasa kunjungan mana-mana tetamu negara yang lain.
Jokowi bagaimanapun berjanji akan membuat panggilan kepada
Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammad bin Salman Al Saud bagi mengadakan
perbincangan secara lanjut berhubung pelaburan.
Lawatan Raja Salman mencatatkan sejarah kerana ia merupakan
kunjungan pertama Raja Arab Saudi ke Indonesia dalam tempoh 47 tahun. – mStar Online

Ulasan
Catat Ulasan