Madrasah Tampil Merungkai Pertanyaan Orang Ramai Mengenai Kejadian Kes Thaqif
KOTA TINGGI – Madrasah Tahfiz Al-Jauhar (MTAJ) tempat
belajar Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pertama kalinya tampil
dalam satu kenyataan sekali gus merungkai segala pertanyaan orang ramai ekoran
kejadian yang berlaku.
Menerusi kenyataan dikeluarkan jemaah pengurusan di Facebook
rasmi madrasah berkenaan dipetik berkata, seperti mana yang dipersoalkan orang
ramai, pihak madrasah mengakui maklum tentang rekod jenayah lampau dimiliki
pembantu warden berkenaan.
Menurutnya, pembantu warden tersebut telah mengaku sendiri
tentang sejarah lamanya setelah diterima berkerja di madrasah sekali gus
membuatkan pihak madrasah memahaminya yang cuba bersikap jujur untuk membaiki
kehidupan.
“Kerana kami maklum, dia telah diberi parol dan dibebaskan
awal kerana berkelakuan baik.
“Rentetan daripada itu, kami berpendapat, andainya pengarah
penjara mengakui beliau sedang berubah dan layak diberi kebebasan awal, apakah
kami sebagai ahli masyarakat tidak boleh memberi peluang kedua untuknya.
“Apakah pendirian anda semua tentang memberi peluang kepada
seseorang untuk menjadi lebih baik?
“Semoga kita semua terus diberi peluang untuk menjadi lebih
baik dan berubah kearah yang lebih baik. Beliau telah menjalankan tugas dengan
baik dan beliau bukan seorang ustaz.
“Kami berani menyatakan komitmen beliau melebihi para ustaz
di madrasah kearah berubah menjadi insan yang lebih baik. Kekurangan seorang manusia tidak sepatutnya
memberhentikan dia terus menjadi manusia,” kenyataan itu dipetik.
Katanya, kenyataan itu bagaimanapun tidak sama sekali
membela pembantu warden tersebut ketika dia memilih untuk mengambil
tindakan terhadap pelajar dengan
menggunakan getah paip.
Jelasnya, kejadian yang berlaku (sebat) ia bukan seperti
yang orang ramai gambarkan dan pihaknya mempunyai bukti kejadian dalam rakaman
litar tertutup (CCTV) yang telah diserah pada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam tulisan tersebut turut memaklumkan, kenyataan
dikeluarkan itu sama sekali tidak bertujuan untuk mengganggu siasatan atau
mengulas perkara-perkara yang mungkin memberi kesan kepada siasatan pihak
berkuasa.
Sebaliknya, tulisan itu dibuat kerana setelah hampir dua
minggu madrasah menerima kecaman, tohmahan dan ugutan, serta begitu banyak
tekanan diberi tanpa sebarang jawapan.
Ekoran itu, atas rasa kebimbangan sekiranya tiada sebarang
jawapan dari madrasah, ia akan terus menyebabkan orang ramai tertanya-tanya dan
memungkinkan fitnah berleluasa.
Kenyataan itu turut memaklumkan tulisan berkenaan tidak
dapat memberi fokus yang banyak tentang sikap Allahyarham Thaqif, dakwaan penderaan, dan hal-hal yang mungkin
mengganggu emosi keluarga Allahyarham.
Ia berikutan kerana sedari awal pihak madrasah telah menjaga
adab untuk sama sekali tidak mahu mengguris perasaan keluarga Allahyarham.
Selain itu, tulisan berkenaan turut mengakui madrasah
tersebut tidak didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan berikutan ia tidak
disyaratkan namun madrasah sangat gembira untuk mendaftar dibawah kementerian
apapun selagi ia boleh menambah baik sistem di madrasah tersebut.
“Seperti yang ditularkan dan ada didalam dada akhbar tentang
luahan arwah menggambarkan beliau sedang merasa perit semasa proses
pembelajaran di MTAJ, ia agak sukar
dijelaskan buat masa ini.
“Bagaimanapun,
terdapat enam keping lagi surat dari arwah yang mungkin boleh
menjelaskan watak sebenar arwah yang telahpun diserahkan kepada pihak polis
untuk siasatan lanjut.
“Istilah yang digunakan mungkin tidak boleh menggambarkan
hakikat sebenar kejadian. Sebagai
contoh, bila sesorang pelajar
menggambarkan dia dibuli, kita harus
mendalami hakikatnya. Apakah buli yang kita faham?
“Untuk hal ini, kita
beri ruang untuk polis jalankan siasatan,” katanya yang turut mengalu-alukan
lawatan masyarakat ke madrasah tersebut.
Jelasnya, MTAJ tidak mahu mendabik dada mengatakan tiada
pelajar yang mungkin mengambil kesempatan terhadap pelajar lain, kerana ia berpotensi untuk berlaku
dimana-mana sahaja pusat pengajian, namun,
dalam konteks MTAJ, ia adalah
terkawal.
Tegasnya, MTAJ juga adalah sebuah madrasah tahfiz yang
didirikan dengan bantuan ramai umat islam dan sama sekali tidak berteraskan
keuntungan.
Oleh yang demikian,
apa jua bentuk sumbangan kewangan digunakan untuk melengkapkan fasiliti
agar anak-anak MTAJ dapat belajar dengan serba serbi dan cukup.
Sebelum ini kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke
Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 19 April menjadi tular di media
sosial selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua
minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasahnya.
Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan
Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan
dijadualkan dipotong dari jari
hingga bawah siku, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu
dilaporkan tidak stabil.
Bagaimanapun, selepas lapan hari bertarung nyawa, akhirnya
Allahyarham Mohamad Thaqif Amin, 11, meninggal dunia pada 2.05 petang pada 26
April lalu ketika sedang dalam rawatan di HSI.- Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan