Ibu Mohamad Thaqif Amin Dipanggil Beri Keterangan Kepada Pihak Polis
Kota Tinggi – Ibu pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd
Gaddafi yang meninggal dunia selepas kedua-duanya kakinya dipotong akibat
dijangkiti kuman selepas dilaporkan dipukul pembantu warden madrasah itu, telah
dipanggil memberi keterangan kepada polis di sini, Jumaat.
Bapa Allahyarham, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, berkata
keterangan isterinya Felda Wani Ahmad, 40, itu dibuat di Ibu Pejabat Polis
Daerah Kota Tinggi pada sebelah pagi.
Ia bagi membantu siasatan kes kematian anaknya itu yang kini
diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh, katanya
kepada Bernama ketika ditemui di rumah bapanya di Felda Bukit Aping Timur di
sini, Jumaat.
Kata Mohd Gaddafi, dia dan anggota keluarganya sudah reda
dengan pemergian Allahyarham namun masih merinduinya.
“Saya juga ada berasa tidak puas hati kerana ada sesetengah
pihak yang menyalahkan saya dan ibunya. Nasib baik masa arwah sakit, dia sempat
memberi keterangan kepada polis dan doktor tentang kesakitan yang dialami dan
bagaimana dia dipukul. Dia ini budak, dia tidak akan berbohong,” katanya.
Felda Wani berkata dia tidak menyalahkan pihak madrasah
dalam kes kematian anaknya, jauh sekali ingin menuding jari pada sesiapa.
“Benda (siasatan kes) ini sedang berjalan tetapi laporan
yang saya buat itu berdasarkan kepada apa yang dia (Allahyarham) cakap.
“Kita pun bukan hendak menuding jari pada sesiapa, cuma
hendak cari jalan terbaik… anak saya pun sudah tiada, hendak buat apa? Bukan
dia boleh kembali. Semua yang berlaku adalah perancangan Allah dan Allahyarham
menjadi pilihanNya,” katanya.
Felda Wani berkata sebagai ibu yang menyaksikan sendiri
kesakitan ditanggung anaknya, dia hanya mampu menyerahkan siasatan sepenuhnya
kepada polis dan bekerjasama dengan sebaiknya.
“Kita tidak tahu apa sebenarnya terjadi. Mungkin anak saya
ada sakit ke apa, kita tidak tahu. Jadi, kami sekeluarga sedang memberi
kerjasama untuk siasatan,” katanya.
Mohamad Thaqif Amin, 11, yang dipotong kedua-dua belah kaki
hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dilaporkan dipukul pembantu
warden sekolahnya, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail dekat sini pada
petang Rabu.- Bernama
Ulasan
Catat Ulasan