Nasi Lemak Gay Akhirnya Bungkus, Selepas Terima Kecaman Pengguna Media Sosial.
PETALING JAYA – Kontroversi Nasi Lemak Pondan belum pun
reda, kini muncul pula Nasi Lemak Gay, sehingga menjadi tular dan bualan
netizen di media sosial.
Malahan, pengusaha Nasi Lemak Gay ini mengakui berdepan
situasi sukar sejak hari pertama nama itu digunakan untuk mempromosi jualannya.
Susulan itu, operasi gerai berkenaan terpaksa dihentikan
sementara selepas menerima pelbagai reaksi dan kecaman.
Pengusahanya, Adi Yusuf, 33, berkata, dia tidak menyangka
nama Nasi Lemak Gay yang digunakan untuk perniagaannya sekelip mata mencetuskan
kekecohan.
“Saya berniaga nasi
lemak di situ sejak akhir Januari lalu. Hanya baharu semalam (Selasa) saya
pasang ‘banner’ dengan nama Nasi Lemak Gay.
“Saya tak sangka ia kecoh satu Malaysia. Saya terus kena
kecam. Kuasa media sosial sangat menakutkan.
“Saya ambil keputusan untuk berhenti berniaga buat sementara
selepas menerima banyak kecaman. Saya tunggu ia reda dahulu,” katanya kepada
mStar Online.
Adi bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa Nasi Lemak Gay
bukanlah bermaksud lelaki gay atau homoseksual, sebaliknya ia adalah singkatan
kepada Gerai Adi Yusuf.
“Saya memang tak terfikir pasal nama itu akan mengundang
pelbagai reaksi kerana ia adalah singkatan kepada Gerai Adi Yusuf, nama saya
sendiri.
“Saya bukan letak nama Nasi Lemak Gayboy pun. Saya tak
sangka masyarakat terus menghina saya dan menjatuhkan hukum tanpa usul
periksa,” ujar Adi dengan nada kesal.
Nasi Lemak Gay yang beroperasi pada setiap pagi di Taman
Segar, Cheras itu menjual nasi lemak biasa pada harga RM2, nasi lemak kerang
(RM4) dan nasi lemak ayam (RM5).
Turut dijual adalah beberapa makanan untuk sarapan pagi
seperti bihun goreng, mi goreng, kueh teow goreng dan pelbagai jenis kuih.
Selain Nasi Lemak Gay dan Nasi Lemak Pondan, terdapat
beberapa gerai nasi lemak yang menggunakan nama lain daripada yang lain sebagai
strategi memancing pembeli seperti Nasi Lemak Anak Dara dan Nasi Lemak
Spiderman. – mstar
Ulasan
Catat Ulasan