Mereka Nak Simbah Asid Dekat Saya.-Pengusaha Nasi Lemak Gay
PETALING JAYA – Pengusaha Nasi Lemak Gay yang mencetuskan
kontroversi susulan penggunaan perkataan dan bendera yang melambangkan golongan
homoseksual itu mendakwa terpaksa menghentikan sementara perniagaannya selepas
menerima ugutan disimbah asid.
Hanya mahu dikenali sebagai Adi Yusuf, pemuda berusia 33
tahun itu menerima panggilan berbaur ugutan yang mengancam dirinya akan ditimpa
musibah jika masih terus menggunakan nama tersebut untuk mempromosikan
jualannya.
Katanya, ugutan daripada lelaki tidak dikenali itu adalah
punca utama perniagaan nasi lemak yang beroperasi di Taman Segar, Cheras
terpaksa dihentikan buat sementara.
“Kecam tak kecam atau apa-apa lain, lantaklah. Cuma ugut itu
berat untuk saya…kalau nampak depan, muka akan disimbah asid.
“Itu agak menakutkan, memang saya takut,” katanya yang
mendedahkan perkara tersebut dalam temuramah pada Khamis.
Ditanya adakah laporan polis dibuat berhubung ugutan
tersebut, Adi berkata, dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu.
“Bagi saya, lagi saya melayan dan diperbesarkan, lagi
bertambah buruk,” katanya.
Pada Khamis, mStar Online melaporkan bahawa operasi gerai
Nasi Lemak Gay terpaksa dihentikan sementara selepas menerima pelbagai reaksi
dan kecaman.
Adi tampil menjelaskan bahawa Nasi Lemak Gay bukanlah
bermaksud lelaki gay atau homoseksual, sebaliknya ia adalah singkatan kepada
Gerai Adi Yusuf.
Mengenai lambang bendera Lesbian, Gay, Transgender dan
Biseksual (LGBT) yang didakwa terpapar di sepanduk yang digunakannya, Adi
berkata, ia sekadar ‘kebetulan’ namun menegaskan sepanduk itu digunakan untuk
strategi mempromosikan jualannya.
“Saya tahu bendera itu, tetapi macam yang saya cakap G.A.Y
bermakna Gerai Adi Yusuf. Itu yang saya cuba sampaikan.
“Tetapi serius saya tidak bermaksud apa-apa. Saya sekadar
mengikut trend terkini untuk melariskan. Tak sangka sampai ‘meletup’ satu
‘Malaya’,” katanya.
Adi yang merupakan anak kelahiran Jengka, Pahang itu
bagaimanapun memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mengundang rasa kurang
senang di kalangan masyarakat.
“Memang saya tidak ada niat apa-apa. Maaf kepada mereka yang
mengecam saya, yang menyokong saya atau sesiapa sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai status seksualiti berikutan tanggapan
netizen bahawa dirinya seorang gay, Adi hanya menjawab ringkas: “Tak.”
Adi bagaimanapun memberitahu setakat ini dia tidak menerima
sebarang mesej yang kurang disenangi daripada lelaki gay.
“Memang tak ada. Tetapi yang kecam pasal gay itu ramai. Yang
hendak berkenalan itu tak ada.
“Apa yang saya cuba hendak sampaikan adalah menjual nasi
lemak, bukannya saya hendak menjual diri saya,” katanya.
Sehubungan itu, Adi meminta semua pihak supaya tidak
berterusan membuat kecaman, sebaliknya memberi peluang kepada dirinya sebagai
anak muda untuk mencari rezeki dalam bidang makanan dan minuman (F&B) yang
diceburinya sejak berusia 16 tahun.
Bagaimanapun Adi masih belum memutuskan sama ada mahu terus
menjual nasi lemak tanpa menggunakan nama Nasi Lemak Gay atau mencari kerja
lain dalam bidang F&B.
Kemunculan Nasi Lemak Gay ketika kontroversi Nasi Lemak
Pondan belum pun reda, sehingga menjadi tular dan bualan netizen di media
sosial.
Ulasan
Catat Ulasan