Video: Rakaman ‘Motor Selam’ Redah Banjir, Viral Di Facebook.
KUALA LUMPUR – Banjir yang melanda Pantai Timur sejak
seminggu lalu dilaporkan semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa
berbanding petang semalam.
Bagaimanapun rakaman aksi pasangan menaiki motorsikal yang
telah diubahsuai sambil meredah air berjaya menarik tumpuan para pengguna media
sosial.
Melalui video berdurasi 1:23 minit yang dimuatnaik di laman
Facebook, pasangan tersebut dilihat begitu santai dengan wajah yang tersenyum
sambil merakamkan aksi mereka menunggang ‘motor selam’.
Paling menarik mereka turut mengunakan lagu ‘Jomblo Happy’
sebagai lagu latar untuk rakaman tersebut.
Bagaimanapun SuaraTV tidak dapat memastikan bila dan dimana
aksi tersebut dirakamkan.
Sehingga kini jumlah mangsa banjir di Kelantan dan
Terengganu meningkat kepada 20,750 orang sehingga 9 pagi ini berbanding 14,175
orang, 12 tengah malam tadi.
Terengganu mencatatkan 11,860 mangsa banjir pada 9 pagi berbanding
6,642 orang pada 12 tengah malam tadi.
Jumlah pusat pemindahan yang dibuka turut bertambah kepada
140 buah berbanding 93, malam tadi.
Menurut laman web etindakan.terengganu.gov.my, daerah Besut
mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,338 orang daripada 1,178 keluarga
di 51 pusat pemindahan.
Hulu Terengganu pula mencatatkan seramai 3,660 daripada
1,122 keluarga dipindahkan ke 35 pusat pemindahan.
Selain itu, sebanyak 27 pusat pemindahan di Setiu yang
menempatkan 2,706 mangsa daripada 863 keluarga.
Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang
ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 8,890 orang
berbanding 7,533 orang, 12 tengah malam tadi.
Portal eBanjir Kelantan merekodkan semua mangsa banjir di
sembilan daerah ini ditempatkan di 81 PPS.
Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi
iaitu 4,545 mangsa membabitkan 281 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS diikuti
Kuala Krai seramai 1,491 ditempatkan di 11 PPS.
Lain-lain daerah adalah Machang mencatatkan seramai 1,100
mangsa, Kota Bharu (724), Tanah Merah (638), Pasir Puteh( 217), Bachok (107),
Tumpat (45) dan Jeli (23).
Bacaan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Kusial, Tanah
Merah merekodkan sedikit penurunan namun masih melepasi paras bahaya iaitu
17.56 meter (m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.39m).
Dalam pada itu, 32 laluan ditutup masing-masing empat di
Kuala Krai, Machang (5) Pasir Mas (22), Pasir Puteh (3), Tumpat (1) dan Tanah
Merah (1). – SuaraTV
Ulasan
Catat Ulasan