Tiada Sebarang Respon Dari Jamal Apabila Abang Kucing Cabar Dia Bertinju.
BUKIT CHANDAN – Tindak-tanduk kumpulan baju merah diketuai
Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kerap mencetuskan provokasi menimbulkan rasa
kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Merasakan tindakan kumpulan tersebut semakin melampau,
seorang aktivis masyarakat, Sharul Nizam Ab Rahim, 37, melontarkan cabaran
terbuka kepada Jamal dalam laman sosial.
Dia yang menggelarkan dirinya ‘Abang Kucing’ mencabar Jamal
supaya bertinju di dalam gelanggang sekiranya Pengerusi Gabungan NGO Malaysia
itu benar-benar berhasrat menunjukkan kekuatannya.
Menurutnya, setakat ini, seramai 22 peninju dari seluruh
Malaysia menghubunginya dan meminta slot bertarung dengan Jamal dalam
gelanggang.
Begitupun, katanya, tiada sebarang respon dari Jamal
sehingga kini, namun difahamkan Jamal mengetahui perkara itu (cabaran bertinju)
yang dimuat naik dalam laman sosial kelmarin.
“Bila saya buat cabaran terbuka sebegini, orang label saya
sebagai penyokong Bersih tetapi sebenarnya mereka tidak tahu saya merupakan
pemangkah tetap BN di Lubuk Merbau dan Padang Rengas.
“Saya cabar kerana saya lihat kesamsengannya semakin terserlah
dan undang-undang juga seakan tidak boleh menyentuhnya. Itu sebab saya cabar
beliau buka gelanggang dan bertinju di situ.
“Saya boleh sediakan beberapa peninju dan sekarang pun saya
sudah ada 22 orang yang sudi masuk gelanggang menentang Jamal,” katanya kepada
Sinar Harian.
Tambah Sharul Nizam, beliau melakukan cabaran sebegitu
kerana enggan budaya samseng dan pergaduhan terus merebak dalam kalangan
masyarakat Melayu.
Katanya, orang Melayu harus ingat bahawa pergaduhan sesama
Melayu begitu mahal harganya seperti yang pernah dibuktikan pemimpin terdahulu.
“Berani itu bagus tetapi bijak lebih baik. Kalau kita
bergaduh di tepi jalan sebegitu, ia menyalahi undang-undang. Jadi, apa salahnya
kita buka gelanggang dan Jamal boleh tunjuk kekuatannya di situ.
“Apa yang membuatkan saya geram adalah apabila dalam satu
video, Jamal menolak seorang lelaki sedangkan polis ada di sekelilingnya. Itu
salah, sangat salah.
“Yang kamu (Jamal) tolak tu Melayu tau, Islam sama-sama
dengan kamu. Saya tidak tengok baju apa orang pakai masa itu tetapi kalau dia
usik Melayu, saya akan bersuara,” tegasnya.
Menurutnya, tindakan kumpulan baju merah menunjukkan
kekuatan di jalan raya dilihat tidak adil dan tiadanya respon dari kumpulan
baju kuning bukan bermaksud mereka takut.
“Mereka masih muda. Bila berlaku pergaduhan, polis akan
berkas semua sekali. Bila ada rekod polis, susah untuk mereka cari pekerjaan
pada masa depan.
“Sebab itu, mereka tidak melawan. Jadi, kumpulan baju merah
janganlah ingat mereka takut lalu mereka terus melakukan lebih banyak provokasi
pula,” katanya.
Setakat semalam, status dimuat naik Sharul Nizam viral di
media sosial telah mendapat kira-kira 15,000 perkongsian namun sehingga
semalam, tiada sebarang maklum balas dari pihak kumpulan baju merah.-Sinar
Ulasan
Catat Ulasan