‘Lelaki Ini Gosok Kemaluan Dia Pada Saya Dalam LRT’
KUALA LUMPUR – Seorang pengguna Facebook memberi peringatan
kepada orang ramai khususnya golongan wanita yang menggunakan pengangkutan awam
supaya lebih berhati-hati berikutan insiden hitam yang menimpanya selepas
mendakwa dirinya diganggu secara seksual oleh seorang lelaki.
Menerusi kemaskini di laman Facebooknya, mangsa, Syima
Mohamad mendakwa telah dicabul oleh seorang lelaki yang tidak dapat dipastikan
warganegaranya ketika beliau menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan
(LRT) dalam perjalanan dari stesen Universiti menuju ke Bangsar di ibu negara,
pada Selasa lalu.
Dalam keadaan LRT yang penuh sesak, Syima mendakwa lelaki
‘gila seks’ yang berkaca mata itu bertindak mencabulnya dengan menggosok
kemaluan pada badannya.
“Wanita, tolong lebih berwaspada dan cuba jauhi lelaki ini.
Hari ini (Selasa) dia memakai baju bewarna kelabu dan berkaca mata. Cuba ingat
wajahnya.
“Dia cuba melakukan gangguan seksual terhadap saya dalam LRT
Putra hari ini dengan menggosok kemaluannya pada saya. Astaghfirullah. Tak
pasti dia datang dari mana tetapi tolong ingat muka lelaki ini. Dia berhenti di
stesen (LRT) Bangsar,” tulis Syima dalam entrinya, 8 November lalu.
Status yang dimuat naik Syima sehingga hari ini mendapat
perkongsian lebih 3,752 dan 3,100 ‘like’ daripada pengguna Facebook.
Syima turut memuat naik dua keping foto suspek yang sempat
dirakam olehnya ketika insiden berlaku, yang mana memaparkan keadaan di dalam
tren kelihatan begitu padat dengan orang ramai.
Terkejut dengan perbuatan jijik lelaki terbabit, Syima
dengan kuat menjeri ke arah suspek sambil memberi peringatan kepada pengguna
wanita lain supaya berhati-hati dan tidak berada dekat dengan suspek.
Bagaimanapun, apa yang lebih mengecewakan Syima, jeritannya
itu tidak diendahkan oleh penumpang lain apabila dia mendakwa tiada siapa yang
datang membantunya.
“Tapi sedih…tiada seorang manusia pun yang membantu, biar
betul?
“Sesetengah orang mungkin fikir saya ‘meroyan’, tetapi
dengar ini, saya tidak berasa malu, yang patut malu adalah lelaki setan ini
“Saya, dari sudut lain berasa bangga kerana saya tidak
berdiri kaku membiarkan diri diperlakukan seperti itu. Saya bangkit
memperjuangkan maruah dan harga diri saya di kala yang lain tidak endah dengan
apa yang terjadi,” tegasnya.
Oleh hal itu, Syima menyeru semua pihak khususnya golongan
wanita supaya tidak berdiam diri jika berdepan dengan insiden gangguan seksual.
“Ia adalah satu kesalahan. Tolong, ambil tindakan dan
lindungi diri kamu. Gangguan seksual bukan perkara yang boleh diketawakan,”
katanya.
Ulasan
Catat Ulasan