Video Lepas Bertengkar Dengan JPJ, Lelaki Ini Patah 8 Gigi.
Lapan gigi palsu milik salah seorang lelaki yang videonya
bertengkar dengan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) viral, patah terkena
palang automatik di Plaza Tol Jawi, di sini, sejurus kejadian, Sabtu lalu.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki berusia 66 tahun yang
juga pesara, turun dari kereta dipandunya untuk mendapatkan kad pengenalannya
yang diambil pegawai JPJ ketika dia ditahan di Kilometer 157 Lebuhraya PLUS
arah selatan, di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan
Shafee Abd Samad berkata, selepas pegawai JPJ mengambil kad pengenalannya
lelaki itu diarahkan ke balai polis berhampiran.
"Sebaik tiba di laluan tol Plaza Tol Jawi, lelaki itu
turun ke kenderaan dinaiki pegawai JPJ untuk mengambil kad pengenalannya bagi
membayar tol kerana ia dilengkapi Touch ‘n Go.
"Permintaannya tidak dilayan sebelum palang automatik
laluan berkenaan turun dan terkena mulutnya menyebabkan lapan gigi palsunya
patah," katanya.
Menurutnya, pemandu itu ditahan JPJ kerana mengeluarkan
kepala melalui tingkap kereta dan mengambil gambar menggunakan telefon
bimbitnya.
Katanya, pertengkaran itu tiada kaitan dengan penganjuran
program Santai Anak Utara 4.0 di Batu Kawan seperti yang disebarkan pihak
tertentu.
“Pemandu serta tiga penumpang kereta itu ditahan dan diambil
keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana
menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Berdasarkan klip video berdurasi lebih dua minit bertarikh 1
Oktober lalu itu, beberapa pegawai JPJ lengkap beruniform dilihat ditengking
beberapa lelaki serta ditolak di tengah laluan lebuh raya sebelum cuba
ditenangkan orang ramai yang berada di situ.-Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan