Islam Melarang Suami Dan Isteri Bercium Ditempat Awam - Mufti Kelantan
Pasangan suami-isteri yang ingin menggambarkan kasih sayang
masing-masing ditegah berkongsi keintiman mereka dengan khalayak kerana
perbuatan itu dilarang oleh ajaran Islam.
Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata setiap
perbuatan yang ingin menggambarkan kasih sayang antara suami-isteri perlu
dilakukan di tempat yang sesuai.
“Dalam Islam ada adab, setiap langkah, kata-kata dan
perbuatan ada tempat yang sesuai. Walaupun seseorang itu suami-isteri tapi
setiap perbuatan mereka perlu ada batasan jika mahu menunjukkan kasih sayang.
“Akhlak seseorang dalam Islam tidak diizinkan untuk
bercumbu-cumbuan di tempat awam. Jika ingin bercium ada tempat privasi dan ia
tidak perlu dipertontonkan kepada umum, ” ujarnya.
Bagaimanapun, Mohamad Shukri menambah, pasangan suami isteri
digalakkan untuk melahirkan rasa cinta sesama pasangan namun perlu dilakukan di
tempat yang sesuai seperti di rumah.
Katanya, hal tersebut bagi mengelakkan daripada sebarang
perkara yang boleh mengundang kepada fitnah.
Tanpa merujuk kepada mana-mana individu Mohamad Shukri
berkata, semua pihak harus mengambil maklum perkara itu tidak kiralah mereka
golongan artis ataupun orang biasa.
Terdahulu adegan bercium pasangan selebriti Rozita Che Wan
dan suaminya Zain Saidin yang dimuat naik di laman Instagram milik aktres itu
ketika bercuti di Greece mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Foto bercium yang dimuat naik pada Selasa itu mendapat lebih
11,000 like dan 1,184 komen.
Rata-rata netizen menganggap gambar kasih sayang tersebut
tidak sesuai dikongsi kepada umum namun ada juga yang menyokong.
Selain pasangan berkenaan, pengacara Awal Ashaari turut
melakukan perkara yang sama apabila memuat naik gambar bercium bersama
isterinya Scha Alyahya di sebuah tempat peranginan di Langkawi ketika
menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka Ahad lalu.
Awal yang kurang senang dengan komen netizen memberitahu
perkara itu tidak menjadi masalah kerana Scha merupakan isterinya yang sah.
“Dia isteri saya yang halal. Ada Masalah?” tulisnya.
Bagaimanapun, selepas itu Awal meletakkan komen pada mode
privasi. – mStar 0nline
Gambar Awal Ashaari Dan Scha Alyahya Bercium
|
Gambar Zain Saidin Dan Rozita Che Wan Bercium
|
Ulasan
Catat Ulasan