Suami Kemaruk Janda Sampaikan Isteri Di Rumah Yang Sedang Tenat Di Abaikan.
PANGGILAN telefon daripada pemanggil yang tidak mahu
dinamakan yang diterima bukan sahaja berniat meluahkan rasa, malah dia juga
meminta penulis berkongsikan kisahnya supaya dijadikan pengajaran buat pasangan
berkahwin di luar sana. Mendirikan masjid ALLAH bukan kerja mudah. Apatah lagi
dia dan suami bukan berasal daripada keluarga berada.
Namun berkat kesabaran, doa dan tawakal, daripada berkongsi
hanya satu gelas plastik di bilik sewa di perkampungan setinggan, kini dia dan
suami sudah memiliki tiga buah rumah dan tiga orang anak. Sebagai umat Islam
yang dikurniakan nikmat.
Namun, dalam kesibukkan mengejar harta dunia, bahagia yang
diharap berkekalan selamanya hanya sekejap cuma. Dahulu, suami sering pulang
dengan senyuman dan pelukan mesra, namun setelah lebih 25 tahun bersama, sikap
suami bertukar hambar.
Dahulu, walaupun dengan gaji empat angka, suami riang
mengajak dia dan anak-anak bercuti ke sana ke mari, namun sejak anak-anak
semakin dewasa, yang ada hanyalah kedinginan dan ‘perang mulut’ antara suami
dan anak-anak.
Dahulu segala kelengkapan rumah dipenuhi bersama, kini,
meskipun bergaji mencecah lima angka, suami dingin malah mengherdik dia dan
anak-anak setiap kali nafkah zahir diminta.
“Puas saya memikirkan punca, mengapa jadi begini? Di mana
silapnya? Adakah kerana saya dan anak-anak terlalu membebankan dirinya?” ujar
wanita itu memulakan perbualan. Sikap suami yang dahulunya penyayang dan
romantis bertukar dingin.
“Saya bukanlah berkira, namun suami yang bergaji lebih besar
harus memikul tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, suami dan bapa kepada
anak-anak. Barang keperluan dapur tidak dibeli, ketiga-tiga rumah dan kereta
juga ditanggung dengan gaji saya sendiri.
“Tidak termasuk dengan keperluan anak-anak yang masih
menuntut di institut pengajian tinggi. Semuanya memerlukan perbelanjaan yang
besar. Setiap kali saya dan anak-anak meminta, yang kami dapat hanya caci maki
dan kadang-kadang tamparan daripadanya,” katanya.
Hal kebajikan dirinya dan anak-anak diabaikan. Perbelanjaan
dapur diserah bulat-bulat kepada si isteri. Anak-anak pula terkontang-kanting
terbiar di asrama penuh institut pengajian tinggi masing-masing. Setiap kali
anak mengadu sakit, yang diberi hanyalah leteran panjang yang menyakitkan hati.
“Membazir duit aku je (sahaja),”itu dialog biasa suami setiap kali ada antara
anak-anak yang tiba-tiba jatuh sakit.
Setiap kali berlaku perbalahan antara suami dan anak-anak,
wanita itu hanya diam. Anak-anak yang menjadi pembelanya sering menjadi
mangsa pukulan suami. Pernah sekali dia membuka mulut, mengiakan kata-kata
anak-anak, namun dia pula yang jadi mangsa seterusnya. Suatu hari, dia jatuh
sakit. Pada mulanya dia tidak ambil peduli. Daripada hanya sakit pinggang dan
belakang, kini sakitnya terasa ke seluruh tubuh. Akibat terlalu sakit, dia
tidak mampu melelapkan mata.
Suami tidak peduli. Yang penting hanya gajetnya. Si isteri
yang sedang dalam kesakitan dibiarkan di sudut katil. Menahan rasa sejuk dan
sakit yang menyelubungi seluruh tubuh. “Apabila saya mengerang sedikit,
dipandangnya saya dengan pandangan penuh meluat dan kebencian. Seolah-olah saya
seorang penagih dadah yang meminta nyawanya ketika itu,” luahnya.
Suhu bilik yang terlalu sejuk menyebabkan dia beralih tempat
tidur ke ruang tamu, manakala suami hanya dibiar dalam bilik tidur. “Anak
sulung datang menjengah saya yang terbaring di ruang tamu. Jam 1 pagi, anak
sulung mengurut seluruh tubuh, cuba memujuk saya untuk tidur.
“Suami tiba-tiba keluar dari bilik. Memandang kami berdua
dengan pandangan biasa dan terus berlalu ke dapur untuk menjamah sedikit
makanan. Wajah anak yang menahan rasa mengantuk ditatap kosong. Wajah saya yang
menahan kesakitan dipandang tanpa rasa.
“Sampainya hati suami. Berpuluh tahun saya setia, ini
balasan daripadanya untuk saya. Saya yang mengandungkan anak-anaknya. Saya
jugalah yang berdiri di sisinya, memberi kata-kata semangat setiap kali dia
jatuh.
“Makan pakainya saya jaga. Tempat tidur dan keperluannya
saya penuhi. Dan saya tidak pernah meminta apa-apa selama ini, hatta seurat
gelang emas sekalipun. Namun tatkala saya mengharapkan simpati suami, yang
diberi hanyalah pandangan penuh benci ,” katanya lagi.
Hampir sejam anak sulung mengurut tubuh, wanita itu
mengucapkan terima kasih dan menyuruh anaknya untuk masuk tidur. Manakala dia
pula menyambung kegelisahan di ruang tamu. “Hinggalah pada jam 4 pagi, saya
meminta suami membawa saya ke klinik kerana tidak mampu untuk memandu
sendirian, namun apa yang keluar daripada mulutnya amat mengejutkan,”
“Kenapa? Dah nak mati ke?” “Sakit sangat ke sampai tak boleh
tunggu pagi esok?” Suami menyoal bertalu-talu apabila si isteri hanya diam.
Tanpa berfikir panjang, wanita itu terus mencapai tudung, beg tangan. “Saya
tinggalkan suami dalam keadaan menyinga dan memandu sendirian ke hospital. “Hati
saya hancur,” ujarnya lagi.
Tiba di hospital, wanita itu melalui proses saringan
sendirian tanpa kehadiran suami. Suaminya tidak peduli. Yang ada dalam dunianya
kini hanyalah dia seorang. Bukan lagi sang isteri dan anak-anak. Meskipun
bingung dengan perubahan dirinya yang semakin lama semakin ketara, wanita itu
mengaku tidak berputus asa.
“Saya tunduk kepada ALLAH sentiasa, minta petunjuk dan
peluang untuk memperbaiki hubungan dan rumah tangga kami. Doktor sahkan saya
mempunyai penyakit batu karang dan perlu ditahan di hospital. Saya menundukkan
pandangan sewaktu menerima khabar. Serba salah meninggalkan rumah dan anak-anak
begitu sahaja.
“Akhirnya saya memohon untuk pulang ke rumah dahulu untuk
mengambil barang dan kelengkapan yang diperlukan sewaktu di hospital,” katanya
lagi.
Suami hilang entah ke mana. Tiada khabar tiada berita sejak
wanita itu meninggalkannya awal pagi tagi. Saya tidak bertanya dan dia juga
tidak menghubungi saya untuk bertanyakan keadaan saya. Janda berhias jadi punca
“Jam menunjukkan ke arah nombor dua ketika kereta saya
menjalar masuk ke ruang parkir. Kereta suami masih di bawah teduhan di hadapan
rumah ketika saya masuk ke dalam rumah,” katanya. Suasana hening seketika. Anak
sulung tiada di rumah pada ketika itu kerana menghadiri kuliahnya di
universiti.
Wanita itu menuju ke bilik tidur. Terdengar suara suami
tergelak kecil sebelum menyambung kembali perbualannya dengan seseorang. “Saya
jadi kaku sebentar sebelum senyap-senyap menyusun langkah menghampiri pintu
bilik yang sedikit terkuak.
“Saya mengintai gelagat suami yang ceria, bersahaja melayani
panggilan telefon. Di hujung corong, terdengar suara manja seorang wanita lain
yang ketawa mendengarkan jenaka dari suamiku sendiri,” luahnya lagi.
Hatinya meluap-luap dengan perasaan marah dan cemburu dengan
tiba-tiba. Syaitan pantas memainkan peranan, membisikkan bisikan-bisikan
hasutan yang boleh membuatkan dirinya hilang pertimbangan. Namun segera dia
beristighfar dalam hati. Cuba menenangkan perasaan yang kian membara.
Sebaik sahaja suami menyusun langkah ke dalam bilik mandi,
wanita itu terus meluru ke meja solek dan mengambil telefon bimbit suami. Cepat-cepat
ditekan butang ‘home’ bagi mengelakkan paparan skrin terkunci secara automatik.
Dibukanya ruangan aplikasi media sosial Whatsapp milik sang suami. Perbualan
yang paling atas ditekan tanpa berfikir.
Terpampang wajah seorang wanita berambut kerinting dan
bermekap tebal. Dibeleknya perbualan Whatsapp antara suami dan wanita yang
tertera dengan nama Sue Mona di skrin. Penuh dengan ayat-ayat cinta berbaur
lucah.
Pandangannya gelap serta-merta. Seluruh dunia terasa ligat
berpusing. Dia hampir terjelepuk ke lantai, namun sempat berpaut pada meja
solek di sisi. Suaminya yang keluar daripada bilik air, meluru ke arahnya. Suami
cuba merampas telefon bimbit di tangannya.
“Sewaktu bergelut, dia tolak saya sampai terjatuh saya ke
meja solek. Sanggup dia membelakangi saya, isterinya yang selama ini sentiasa
bersusah payah deminya untuk seorang wanita,” luahnya.
Dia hilang pertimbangan. Tembok kesabarannya selama ini
bertahan kukuh, runtuh rebah ke tanah. Suaminya yang selama ini disanjung, ditengking
dimarahi tanpa sedar. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya suami meluahkan
rahsia.
“Mereka sudah bertemu dan bersama sejak tujuh tahun lepas.
Sue janda berhias dan mempunyai enam anak. Hubungan yang mereka ada hanyalah
‘for fun and pleasure’ (untuk keseronokan). “Dan kerana janda berhiaslah, suami
hilang minat terhadap saya dan anak-anak,” katanya.
Setelah di selidik, sudah banyak wang suami dihabiskan untuk
si janda selama ini. Daripada rumah, kereta dan barang perhiasan, hinggalah
keperluan anak-anak wanita itu ditanggung oleh suaminya.
“Selama ini, saya dianiaya suami sendiri. Anak-anak pula
menjeruk rasa. Saya biarkan kali ini dia membuat pilihannya. Jika Sue
kemahuannya, Sue lah yang saya berikan kepadanya. “Saya dan anak-anak rela
undur diri demi kebahagiaan suami, ayah mereka,” ucapnya.
Ulasan
Catat Ulasan