Viral Raja Hanya Bersinglet, Thailand Ugut ‘Hukum’ Facebook
BANGKOK – Kerajaan Thailand mengancam untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap laman sosial Facebook susulan penularan video
raja negara itu memakai baju singlet singkat dan kelihatan badannya dipenuhi
tatu.
Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan Raja Maha
Vajiralongkorn berjalan di sebuah pusat beli-belah bersama seorang wanita dan
tersebar meluas dalam laman sosial tersebut.
Namun menurut portal Mail Online, pihak berkuasa Thailand
sedia mengambil tindakan tegas terhadap Facebook sekirannya video berkenaan
tidak dipadamkan sebelum pukul 10 pagi Rabu.
Rakaman itu dipercayai diambil di Munich, Jerman pada Julai
tahun lalu.
Video tersebut juga menunjukkan Vajiralongkorn yang menaiki
takhta pada tahun lalu susulan kematian bapanya, mempunyai sejumlah tatu di
bahagian lengan, perut dan belakang badannya.
Namun tatu itu dipercayai palsu kerana penganalisis
mendapati ia tidak sama seperti gambar yang diambil di lapangan terbang Munich
pada awal tahun lalu.
Mengikut undang-undang Thailand, hukuman penjara sehingga 15
tahun boleh dikenakan kepada pihak yang menyebarkan bahan yang dianggap
menghina kerabat diraja negara itu.
Setiausaha Agung Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran
Thailand, Takorn Tantasith berkata, video berkenaan telah disekat dalam
beberapa rangkaian laman sosial tetapi pihak berkuasa Thailand mendapati
sebanyak 131 akaun Facebook masih menyiarkan rakaman tersebut.
“Walaupun satu akaun Facebook masih menyiarkan video itu, kami
akan berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Facebook
Thailand,” katanya.
Minggu lalu, Persatuan Penyedia Perkhidmatan Internet
Thailand menghantar emel kepada Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg untuk
menggesa pemilik laman sosial terbabit menyekat penyebaran video itu. – mstar
Ulasan
Catat Ulasan