Disebalik Kisah Bekas Ketua Mafia Sebelum Terima Hidayah Memeluk Islam.
PETALING JAYA – Siapa tidak kenal Vince Focarelli, kisah
bekas ketua mafia yang berpengaruh di selatan Australia menjadi tular di media
sosial.
Tapi tidak ramai yang tahu kisah di sebalik Vince yang lahir
dalam keluarga yang beragama Kristian (Katolik) mendapat hidayah untuk memeluk
agama Islam.
Pada awalnya, Vince yang berbadan sasa ini hanyalah seorang
Muslim pada nama dan bukan pada penghayatannya.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri dalam Bayan Linnas siri ke-93, hidayah itu timbul apabila Vince selalu
meluangkan masa bersama ahli-ahli kumpulannya yang mana sebahagian mereka
beragama Islam.
Perbincangan mengenai Nabi Isa (Jesus) menarik minat Vince
sehingga apabila diceritakan mengikut kaca mata Islam, dia kemudian
mengaitkannya dengan kefahaman agamanya (Kristian) ketika itu.
Banyak persoalan sering menghantui dirinya sehinggalah
hidayah itu muncul dan Vince sendiri mengucapkan dua kalimah syahadah.
Walaupun Vince telah memeluk Islam, namun dia tetap
meneruskan aktiviti bersama kumpulannya.
Kumpulan-kumpulan gengster lain sentiasa mencari ruang untuk
menjatuhkan antara satu sama lain dan terdapat enam percubaan untuk membunuh
Vince termasuk satu percubaan bunuh menggunakan bom.
Malah, salah satu siri percubaan membunuh itu telah meragut
nyawa anak lelakinya, Giovanni.
Vince pernah dipenjarakan dan ditempatkan secara
bersendirian dalam sel tahanan, dan satu permintaannya adalah menjadikan
al-Quran sebagai teman.
Di sinilah Vince membaca al-Quran dari mula sehingga berjaya
mengkhatamkannya walaupun dia sendiri tidak mengetahui isi kandungannya.
Dengan kebesaran Allah, sejurus mengkhatamkan bacaan
al-Quran, Vince didatangi seorang warden penjara untuk memberitahu dirinya
telah bebas.
Hari itu ternyata bermakna buat Vince yang mengakhiri
kehidupannya di sebalik tirai besi selama 14 bulan di atas kesalahan dadah dan
senjata api.
Perkara pertama yang dilakukannya apabila dibebaskan dari
penjara adalah pergi bersolat di masjid, selain meninggalkan kumpulannya
bersama segala aktivit lampau.
Vince memulakan kehidupan baharu dengan membuka sebuah
restoran di Australia yang menyediakan makanan halal dan turut memberi
sumbangan kepada golongan gelandangan selain melakukan amal jariah lain.
Bagaimanapun, Vince kini menerima perintah diusir keluar
dari Australia dan perlu kembali ke negara asalnya di Itali.
Namun ia tidak mematahkan semangatnya dalam berdakwah bagi
mengajak manusia lain untuk mengenal Islam.
Kisah perubahan dirinya yang menjadi tular satu masa dahulu
banyak dijadikan sebagai motivasi untuk melakukan perubahan dalam kehidupan
bahkan membuka mata ramai pihak mengenai bagaimana Islam mampu mengubah
kehidupan seseorang.
Vince memilih Abdul Salam sebagai nama Islamnya yang mana
Salam itu membawa maksud selamat sejahtera.
Ditanya mengapa memilih nama Abdul Salam, Vince berkata:
“Dahulu aku banyak membuat huru-hara, kini aku seorang muslim, hamba Allah SWT.
Aku tidak akan membuat huru-hara lagi.” – mstar
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) dan Abdul Salam dalam satu pertemuan di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Foto Facebook Mufti Wilayah Persekutuan |
Anak lelakinya yang terkorban |
Ulasan
Catat Ulasan