Segelintir Wanita Malaysia Mudah Terpedaya Jerat Cinta Militan IS
KUALA LUMPUR – Atas nama jihad, segelintir wanita tempatan
sanggup bergadai harta dan wang tunai sebelum ditinggalkan terumbang-ambing di
luar negara gara-gara terperangkap dengan cinta anggota kumpulan militan Daesh
(militan IS) tempatan.
Impian untuk berjuang dan mencari cinta di Syria sebaliknya
hanya janji kosong apabila harta mereka mencecah jutaan ringgit itu diperah
anggota kumpulan militan berkenaan sebelum dilesapkan entah ke mana.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan
Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lebih daripada 20
wanita tempatan telah diperdaya anggota militan Daesh dengan dijanjikan cerita
dan masa depan yang indah di Syria sebaik sahaja mendirikan rumah tangga di
sana.
Jelas beliau, semua maklumat tersebut diperoleh daripada
pendedahan beberapa wanita yang ditahan di negara ini dan Turki kerana
merancang untuk menyertai kumpulan pengganas itu di Syria.
“Sebab cinta juga mereka sanggup menggunakan wang
pengajian, menjual kereta serta kediaman sehinggakan membuat pinjaman bank
sebelum diarahkan untuk meninggalkan Malaysia menerusi penerbangan transit
sebelum tiba di Istanbul, Turki selepas dana yang dikumpul mencukupi.
“Mereka kemudiannya dikawal oleh penjaga-penjaga di rumah sementara
bersama beberapa warga asing termasuklah dari Indonesia dengan menyerahkan
pasport dan telefon bimbit bagi mengelakkan diri daripada dikesan,” katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Ayob Khan, derita wanita-wanita itu mula dirasai
apabila penjaga meminta wang bagi tujuan menanggung kos penginapan, makan dan
minum sepanjang berada di rumah sementara tersebut.
Malah katanya, ada kalangan wanita itu telah tinggal lebih
kurang lima bulan sehingga kehabisan wang simpanan selepas diberi kepada
penjaga rumah menyebabkan impian untuk ke Syria terkubur.
Memburukkan lagi keadaan penjaga itu turut mengambil
kesempatan menipu wanita-wanita terbabit dengan menyerahkan kad bank untuk
mengeluarkan wang saku yang kononnya dikirim oleh Mohamad Wanndy.
“Tetapi apa yang berlaku, penjaga ini bersubahat dengan
Mohammad Wanndy mengeluarkan wang yang ada untuk dibahagi-bahagikan antara
mereka berdua. Habis sahaja wang ‘dikerjakan’ penjaga akan mencari cara untuk
menghalau wanita-wanita ini daripada rumah sementara.
“Cara paling mudah dengan membawa wanita-wanita ini ke
sempadan Turki-Syria seperti di Hatay dan Gaziantep memandangkan kawasan ini
dikawal oleh pihak berkuasa bagi menyekat individu-individu ke Syria,”
tambahnya.
Tambahnya, kebanyakan mereka menaiki bas dan van ditahan
dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa Turki kerana tinggal lebih masa.
“Manakala penjaga pula akan menghilangkan diri dan mencari
wanita-wanita lain untuk diperdayakan sementara mangsa pula dihantar pulang ke
negara asal dengan wang simpanan kehabisan.” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan