13 Pelajar Ahli Kumpulan Kongsi Gelap Geng 24 Ditahan
Kuala Lumpur – Seramai 13 pelajar ditahan Pasukan Petugas
Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24.
Difahamkan, mereka adalah pelajar dari Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Sri Andalas, SMK Raja Mahadi, SMK Shahbandaraya dan SMK
Kampung Jawa.
Selain pelajar berkenaan, lima yang lain turut ditahan
kerana menganggotai kumpulan sama. Semua tangkapan dilakukan di sekitar Klang,
Selangor.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid
Abu Bakar menerusi akaun Twitternya, pagi ini.
Beliau berkata, pihaknya akan menahan lebih ramai individu
yang terbabit dengan aktiviti kumpulan Geng 24.
“@PDRMsia kesan penglibatan pelajar2 SM Andalas, SM Raja
Mahadi, SM Shahbandar, SM Kampung Jawa dalam aktiviti Geng 24.
“Syabas STAFFOC @PDRMsia
13 pelajar,5 bukan pelajar disekitar Klang. Ramai lagi akan ditkap kerana
terlibat dlm aktiviti geng 24. #GoPDRMGo,” katanya.
Dalam Tweet itu juga, Khalid turut memuat naik dua klip
video memaparkan sekumpulan individu, termasuk pelajar berpakaian seragam
sekolah berkumpul di hadapan sebuah sekolah.
Dalam klip video pertama berdurasi 45 saat, kumpulan
terbabit dilihat melakukan kekecohan dengan membakar mercun, selain ada di
antara mereka memegang kain rentang tertera nombor ’24’.
Dalam video kedua yang dimuat naik Khalid, sekumpulan
individu yang menunggang motosikal memotong kek yang mempunyai lakaran gambar
berserta tulisan ‘SMK Sri Andalas 24 Apache’ – BH Online
Ulasan
Catat Ulasan