Maut Terjunam Dalam Loji Kumbahan
Beaufort – Seorang lelaki maut manakala rakan sekerjanya
cedera selepas van dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan
dalam proses pembinaan mengandungi air sedalam kira-kira enam meter.
Dalam kejadian jam 8.15 malam di Bulatan Klias Baru di
Kilometer 4 Jalan Beaufort-Papar, dekat sini, penumpang van, Andrew Mustal, 27,
terperangkap dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia di tempat
kejadian akibat lemas.
Pemandu van, Elson Isos, 22, cedera ringan dan sempat
menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd
Razak, berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah syarikat
pemvaksinan anjing liar dalam perjalanan ke Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian pemandu
van tidak menyedari ada bulatan di hadapan lalu cuba mengelak ke kiri jalan.
“Bagaimanapun, van terbabit gagal dikawal lalu terbabas
sebelum terjunam ke dalam loji kumbahan mengandungi air sedalam kira-kira enam
meter yang masih dalam proses pembinaan,” katanya ketika dihubungi di sini,
hari ini.
Azmir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi
mengenal pasti punca kemalangan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah
siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”
katanya. – BH Onlline
Ulasan
Catat Ulasan