Kisah Skandal Seks & Misteri Pembunuhan Dua Beradik Yang Tidak Terjawab Sejak 33 Tahun Lalu.
Aku cukup ingat kejadian ini walaupun telah
33 tahun berlalu. Ia benar-benar telah menggemparkan negara ketika itu. Dua
beradik ditemui mati dan telah reput akibat diikat dan dibuang dalam lubang
tandas di Kampung Muhibah, Batu Pahat, Johor.
Kes menjadi lebih gempar apabila ketika perbicaraan
berlangsung, seorang wanita yang telah bersuami, Salmah, mengaku segalanya
bermula apabila dua beradik itu, yang juga anak jirannya, ternampak dia sedang
melakukan hubungan seks dengan pemuda OKU, Sam Ser Abdul Rahim yang juga
‘kekasih gelapnya’ di rumah mereka.
Tetapi yang menjadi misteri, pihak mahkamah dalam pengadilan
terakhir MEMBEBASKAN lelaki tersebut dan memutuskan dia tidak bersalah.
Sehingga sekarang, kes pembunuhan kejam dua beradik ini tinggal tanda tanya
kerana sampai ke sudah tiada siapa yang disabitkan dengan pembunuhan tersebut.
Sam Ser sekarang entah di mana manakala Salmah juga sudah
lama berpindah dari Batu Pahat.
Aku berikan detail kisah ini yang pernah ditulis oleh
wartawan Berita Harian, Ziauddin Shahrudin tak lama dulu.
Kisah ‘Tragedi Salmah’ yang belum terjawab sehingga ke hari
ini….
FAKTA KES
Tertuduh: Sam Ser Abdul Rahim, 31.
Pekerjaan: Buruh ladang
Asal: Kampung Muhibbah, Perserai, Batu Pahat dan menetap di
Kampung Telok Bakung (kira-kira lima kilometer dari kampung kelahirannya).
Tuduhan: Membunuh dua beradik, Azman Wardi, 10, dan Saniah,
3.
Tempat kejadian: Di sebuah rumah di Kampung Muhibbah.
Masa: 9.30 pagi, 30 April 1984.
Hakim Mahkamah Tinggi Muar: Datuk Mohamad Eusoff Chin
Juri: 7 orang
Pendakwa: Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamad.
Peguambela: GF Nelson.
Tempoh perbicraan: Bermula 17 Januari 1987 dan berlangsung
selama 20 hari.
Saksi pendakwa: 16 orang
Saksi utama: Salmah Mohamed Salleh, 26.
Saksi pembela: 4 orang.
PEMANDANGAN Kampung Muhibbah di Peserai, Batu Pahat, tidak
ada bezanya dengan kampung lain di Johor, yang penuh dengan suasana ketenangan.
Penduduk bukan setakat saling mengenali, malah ramai yang
mempunyai ikatan persaudaraan. Hubungan erat ini menyebabkan ibu bapa biasanya
tidak bimbang melepaskan anak-anak bermain sekitar kampung.
Anak-anak pula tahu bahawa mereka mesti pulang sebelum senja
menjelang. Jika tidak, berbiratlah belakang badan dirotan atau telinga merah
dipulas.
Kejadian jenayah jarang sekali didengar.. Setakat hilang
ayam atau itik itu biasalah. Itu pun belum tentu dilakukan oleh manusia.
Mungkin juga ular sawa kelaparan punya angkara.
Tanggal 30 April 1984 bagaimanapun mengocak suasana
keharmonian itu.
Petang hari yang malang itu bukan lagi petang biasa seperti
sebelum ini kepada sepasang suami isteri yang mempunyai lima anak, Wardi Wasis,
48 dan Sukiam Hassan, 42.
Ketika anak-anak jiran sudah berada di rumah, kebimbangan
mula menyerang hati mereka kerana dua anak kesayangan, Azman dan Saniah, masih
belum muncul-muncul walaupun azan Maghrib sayup kedengaran.
Belum pernah dua beradik itu buat hal untuk pulang lewat
seperti petang itu.
Penarik beca, Wardi, akhirnya membuat keputusan membuat
laporan polis pada hari itu kerana bimbang ada sesuatu yang tidak kena menimpa
kedua-dua anaknya.
Hari-hari berikutnya, Wardi, dibantu sanak saudara dan
penduduk kampung berusaha mencari anaknya, tetapi menemui kehampaan.
Kira-kira seminggu kemudian, iaitu pada 7 Mei, Kampung
Muhibbah, gempar apabila Azman dan Saniah dijumpai dalam keadaan mengerikan dalam
lubang najis di belakang rumah jiran Wardi, Salmah Mohamed Salleh.
Berdasarkan persamaan tali rapia yang digunakan untuk
mengikat kanak-kanak malang dan yang dijumpai di rumah Salmah, polis tidak
menunggu lama untuk mencari orang yang disyaki.
Salmah ditahan dan keesokan hari pada 8 Mei, seorang buruh
ladang di Ayer Bemban dekat Kulai, Sam Ser Abdul Rahim, ditahan di Kampung
Teluk Bakung, Batu Pahat.
Dengan penahanan mereka bermulalah pendedahan demi
pendedahan menggemparkan bukan saja mengenai pembunuhan itu, tetapi hubungan
terlarang antara lelaki bujang, Sam Ser dan isteri orang, Salmah.
Cara dua beradik itu yang dibunuh dengan kejam juga menarik
perhatian orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser yang dituduh membunuh
mereka.
Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, kes Sam
Ser dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Muar pada 17 Januari 1987.
Keghairahan orang ramai untuk mengikuti perbicaraan Sam Ser
menyebabkan kes itu dilabelkan sebagai `perbicaraan mayat dalam lubang najis.
Di depan Hakim Mohamad Eusoff Chin, Sam Ser dibela oleh GF
Nelson, manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwaraya Saufee Affandi Mohamed.
Dalam perbicaraan awal, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Asisten Superintendan (ASP) Abdul Rahman
Kamil, menceritakan detik penemuan mayat dua beradik itu.
Sebagai pegawai penyiasat kes itu, Abdul Rahman, berkata dia
mengetuai sepasukan polis ke Kampung Muhibbah selepas dimaklumkan penemuan
mayat itu kira-kira jam 2.15 petang, 7 Mei 1984.
Katanya, lubang najis itu ditutupi kepingan papan dengan
sekeping papan lapis di bahagian atas dan apabila dialihkan, ternampak mayat
Azman menghadap ke atas dan adiknya, Saniah, ke bawah.
Kedua-dua mayat itu diikat bersama mulai bahagian perut
hingga bahagian leher. Azman memakai seluar panjang warna coklat dan baju
lengan panjang, manakala Saniah memakai baju-T warna merah hati dan seluar
bercorak bunga.
Yang hanya dapat dilihat pada mayat Azman hanya bahagian
tulang belakangnya, manakala bahagian badan lain hilang. Mayat Saniah walaupun
lebih reput, tetapi tidak seteruk Azman, katanya.
Abdul Rahman berkata, polis menghadapi masalah untuk
memisahkan mayat mereka kerana diikat tali yang kemudian terpaksa dipotong.
Kira-kira jam 6.30 petang, katanya seorang pegawai polis
wanita, Inspektor Lee Siew Kee, memeriksa rumah Salmah dan menjumpai empat utas
tali.
Katanya, seutas tali dijumpai di alang rumah, dua utas di
ruang tamu dan seutas lagi di dapur.
Selepas membandingkan tali yang dijumpai dan tali yang
digunakan mengikat mangsa, anggota polis menangkap Salmah pada hari itu juga,
diikuti Sam Ser keesokan hari, katanya.
Pada 21 Mei, katanya anggota polis menemui sehelai baju-t di
rumah Salmah dan hasil pemeriksaan di Jabatan Kimia di Johor Bahru, menemui
kesan beberapa warna.
Oleh kerana baju itu dijumpai di rumah Salmah, katanya polis
membuat andaian baju itu milik suaminya, Razali Janis. (Salmah ketika memberi
keterangan kemudian memberitahu bahawa baju itu digunakan oleh Sam Ser untuk
mengelap kesan darah pada lantai)
Hari keempat adalah giliran Salmah, sebagai saksi pendakwa
untuk memberi keterangan menggemparkan apabila dia menuduh Sam Ser, 31, sebagai
pembunuh dua beradik itu.
Sam Ser adalah orang yang membunuh Azman dan adiknya, Saniah
dan kemudian mencampakkan mayat mereka dalam lubang najis di belakang rumah
saya.
Di mahkamah yang penuh sesak, Salmah berkata dua beradik itu
masuk ke bilik tidurnya ketika Sam Ser dalam keadaan bogel.
Pada hari kejadian, katanya Sam Ser datang ke rumahnya
kira-kira jam 8 pagi dan selepas berbual seketika, mereka memutuskan untuk
melakukan hubungan seks.
Ketika itu, katanya bayinya yang berusia tiga bulan, tidur
di ruang tamu, manakala seorang lagi anaknya berusia dua tahun sedang bermain.
Katanya, pintu dan tingkap rumahnya selalunya ditutup untuk
mengelakkan rumahnya dimasuki habuk.
Menyedari anak jirannya masuk ke bilik tidur ketika mereka
melakukan hubungan seks, Salmah memberitahu Sam Ser mengenai kehadiran tetamu
tidak diundang itu menyebabkan lelaki itu bingkas bangun meluru ke arah Azman.
Katanya, Sam Ser menangkap Azman dan menolaknya jatuh ke
lantai lalu mencekik dengan kedua belah tangan kanak-kanak itu yang ternyata
tidak mampu melawan.
Sam Ser kemudian meminta beberapa utas tali yang saya ambil
dari dapur. Dia mengikat badan Azman dan kemudian meminta beberapa utas tali
lagi.
Apabila saya muncul dari dapur, saya lihat Sam Ser mencekik
Saniah yang ketika itu terlentang tidak bermaya di lantai, katanya.
Selepas mengikat Saniah, katanya Sam Ser sambil memastikan
tiada orang lain nampak, mengheret dua beradik itu ke belakang rumah dan
menyumbat mereka ke dalam lubang najis.
Lubang najis berukuran 2.1 meter panjang, 1.5 meter lebar
dan sedalam 1.2 meter itu terletak kira-kira 1.2 meter dari tandas yang
terletak di belakang rumah Salmah.
Salmah mendakwa Sam Ser memberi amaran akan membunuhnya jika
memberitahu orang lain mengenai kejadian itu.
Dia juga memberitahu bahawa jika sesiapa bertanyakan dua
beradik itu, saya kena cakap mereka dilarikan dalam sebuah kereta biru,? katanya.
Salmah juga memberitahu bahawa dia cuba menghalang Sam Ser
mencekik Azman tetapi tidak dipedulikan.
Katanya, Sam Ser memilih lubang najis untuk membuang
kanak-kanak kerana sudah biasa dengan persekitaran kawasan rumah itu.
Dari segi perhubungan dengan keluarga Wardi, katanya memang
ada perselisihan faham, tetapi tidak serius. Malah dia ada melawat keluarga itu
selepas kejadian itu, tetapi tidak menceritakan mayat itu.
Selepas kejadian itu, Salmah mengaku dia menyesal, tetapi
keadaan ketika itu menyebabkan dia tidak boleh memberitahu sesiapa mengenai
pembunuhan itu.
Sementara itu, Razali yang ketika perbicaraan sudah bercerai
dengan Salmah memberitahu bahawa pada 1 Mei 1984, bau busuk dari arah belakang
rumahnya menyebabkan dia menyiasat punca bau itu dengan pergi membuka penutup
lubang najis itu.
Selepas dialihkan, katanya dia nampak mayat dalam lubang
najis itu dan menghubungi bapanya yang tinggal di Kampung Petani untuk
memberitahu mengenai penemuan itu.
Katanya, bapanya datang ke rumahnya pada malam itu dan
mereka bersama-sama memeriksa lubang najis itu dan keesokan hari, dia
memberitahu jirannya mengenai perkara itu.
Pada 6 Mei, katanya oleh kerana tidak tahan lagi dengan bau
busuk itu, dia sekeluarga berpindah ke rumah bapanya dan pada masa sama, polis
mengetahui mengenai kisah dua mayat itu.
Perbicaraan berakhir apabila mahkamah akhirnya membuatkan
keputusan Sam Ser tidak bersalah dan kes itu menjadi misteri hingga ke hari ini.
Ulasan
Catat Ulasan