Pasangan Suami Isteri Sanggup Berdrama Kononnya Tidak Mempunyai Apa-Apa Hubungan
MELAKA TENGAH - Satu pasangan suami isteri sanggup
'berdrama' kira-kira 30 minit dengan anggota penguat kuasa kononnya mereka
berdua tidak mempunyai apa-apa hubungan dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai
Udang, di sini, semalam.
Malah, demi melepaskan diri daripada ditangkap, kedua-duanya
sanggup berpura-pura mengatakan dua kanak-kanak lelaki berusia 3 dan 5 tahun di
dalam rumah tersebut adalah anak buah mereka yang perlu dijaga selepas kematian
bapa sementara ibu mereka hilang dan gagal dikesan.
Bagaimanapun, tembelang pasangan berusia 48 dan 38 tahun itu
pecah apabila si isteri akhirnya mengaku lelaki berkenaan adalah suaminya dan
kedua-dua kanak-kanak terbabit adalah anak mereka selepas diasak soalan demi
soalan daripada anggota penguat kuasa.
Pembohongan mereka juga tidak masuk akal kerana bukan sahaja
gagal menunjukkan sijil kematian ‘bapa’ kanak-kanak terbabit, malah anggota
penguat kuasa menemui bingkai gambar terpampang wajah keempat-empat beranak
dengan pakaian sedondon yang dikatakan diambil di sebuah studio sempena hari
raya.
Wanita terbabit yang mengaku berasal dari Sabah kemudian
ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri termasuk
pasport, sementara suaminya ditahan selepas disyaki melindungi seorang lelaki
pekerja asing tanpa izin (Pati) berusia lingkungan 40-an di rumah tersebut.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka, Norazle
Sulaiman berkata, lelaki juga pemegang kad pengenalan hijau, isterinya dan
seorang lagi lelaki yang turut tinggal di dalam rumah tersebut diserahkan
kepada penguat kuasa Imigresen yang turut menyertai serbuan untuk tindakan
lanjut.
“Mereka ditahan dalam operasi bersepadu ID JPN yang disertai
32 anggota termasuk dari Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir lima jam bermula 12 tengah tengah malam.
“Dalam operasi ini kita menahan 13 lelaki warga asing
berusia 19 hingga 40 tahun yang berasal dari Indonesia dan Filipina kerana
disyaki memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik
orang lain,” katanya selepas operasi yang melibatkan 32 anggota menyerbu lapan
lokasi di sekitar Ayer Molek, Batu Berendam dan Sungai Udang tamat
kira-kira 4.30 pagi semalam.
Norazle berkata, daripada 13 lelaki yang dipercayai pekerja
kilang dan buruh binaan, hanya terdapat seorang disyaki menggunakan kad
pengenalan orang lain dan kesemua mereka ditahan untuk disiasat di bawah
Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Mereka ditahan ketika pemeriksaan dijalankan di dua buah
premis rumah kedai di Taman Merdeka dan kediaman di Tiang Dua, Tambak Paya,
Paya Rumput dan Sungai Udang termasuk beberapa orang yang memberi pelbagai
alasan bagi mengelak ditahan penguat kuasa,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan