Suami Isteri Harus Baca Petua Karut Ketika Berjimak Dengan Pasangan Anda.
JIKA ada yang berpesan kepada anda supaya jangan melihat
kemaluan isteri ketika sedang melakukan hubungan kelamin kerana boleh
mengakibatkan buta.
Bahkan petua tersebut dikatakan Rasulullah SAW sendiri yang
melarangnya. Maka, apa pendapat anda? Apa yang akan anda lakukan?
Bertenang. Usah gusar. Jangan panik. Sebenarnya apa sahaja
petua, galakan atau larangan yang disandarkan kepada agama, maka langkah
pertama yang perlu kita lakukan ialah memastikan kesahihan sumbernya. Jadi,
disiplinkan diri untuk mengenal pasti terlebih dahulu apakah dalil yang menjadi
sandaran kepada sesuatu suruhan atau larangan berkaitan agama.
Walaupun orang yang menyebutnya bergelar ustaz, tuan guru,
habib, mufti atau sesiapa sahaja. Ini kerana agama ini adalah milik ALLAH SWT
yang mempunyai disiplin dan metode tersendiri. Tidak boleh mengaitkan sesuatu
dengan agama melainkan ia bersandarkan kepada ALLAH dan juga Rasulullah SAW.
Jadi, berbalik kepada larangan melihat kemaluan isteri
ketika bersetubuh kerana ia boleh mengakibatkan buta. Dari mana larangan
sebegini boleh muncul? Sebenarnya ia diambil daripada hadis palsu:
"Apabila salah seorang antara kamu semua sedang
berjimak (bersetubuh), maka janganlah dia melihat kepada faraj (kemaluan
isteri) kerana perbuatan itu akan mengakibatkan buta, dan janganlah
memperbanyakkan bercakap, kerana hal itu akan mengakibatkan bisu."
Ibn Al-Jauzi memasukkan hadis ini dalam senarai hadis palsu
dalam bukunya Al-Maudhuat. (Rujuk: Ibn Al-Jauzi, Al-Maughu'at (Madinah:
Maktabah Al-Salafiyah, 1966) 2/272)
Hadis ini dihukum sebagai palsu kerana dalam sanadnya
terdapat penyampai hadis bernama Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi.
Menurut Imam Al-Zahabi, Muhammad bin Abd al-Rahman Al-Qusyairi ini adalah
seorang yang tidak dipercayai. Imam Al-Azdi dan Al-Daruqutni pula mengatakan
beliau adalah seorang pendusta yang perlu ditinggalkan hadis yang disampaikan
olehnya.
Melihat kepada maksud hadis ini sendiri kita sudah boleh
mengagak ia adalah palsu dan tidak mungkin Rasulullah SAW mengucapkannya.
Mustahil syariat Islam yang telah menghalalkan hubungan kelamin di antara suami
dan isteri, dalam masa yang sama melarang si suami melihat faraj isterinya.
Menurut hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban dalam Sahihnya,
daripada Sulaiman Al-Taimi bahawa dia pernah ditanya mengenai apakah hukumnya
seseorang itu melihat faraj isterinya? Maka dia pun menjawab: "Aku pernah
bertanya soalan ini kepada 'Atha', lalu dia menjawab: "Aku pernah bertanya
kepada 'Aisyah, dan 'Aisyah menjawab: "Aku pernah mandi bersama Rasulullah
SAW dalam satu bekas, hingga aku mengatakan: Biarkan air itu untukku, biarkan
untukku." (Hadis Hasan, no 5577)
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-'Asqalani dalam Fath Al-Bari
mengatakan: "Hadis ini adalah hujah perihal bolehnya seseorang untuk
melihat aurat isterinya, demikian juga sebaliknya". Maka, tidak ada
bezanya melihat ketika mandi dan ketika berjimak.
Kalaulah perkara ini dilarang, kemungkinan ia akan
menjejaskan kenikmatan ketika hubungan suami dan isteri. Sedangkan syariat
mengizinkan pasangan suami isteri untuk masing-masing merasai nikmat tersebut.
ALLAH menggambarkan dalam al-Quran bahawa si isteri itu umpama ladang bagi si
suami. Jadi, si suami boleh mendatangi isterinya menurut cara yang disukai pada
tempat menanam benih. Firman-Nya: "Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun
tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu
sukai..." (Surah Al-Baqarah: 223)
Kenapa syariat membolehkan perkara ini? Sudah tentu salah
satu sebabnya ialah untuk memberikan peluang kepada pasangan suami isteri
saling merasai kenikmatan tersebut dengan cara yang halal lagi diredai.
Cumanya, syariat juga menetapkan garis panduan yang memang
tidak boleh dilakukan semasa hubungan suami isteri. Antaranya ialah, syariat
mengharamkan si suami mendatangi isterinya dari bahagian belakang (dubur)
isterinya berdasarkan beberapa hadis yang diterima.
Antaranya ialah hadis berikut: "Apabila golongan
Muhajirin datang ke perkampungan kaum Ansar, mereka pun menikahi wanita Ansar.
Golongan muhajirin biasa menelungkupkan isterinya ketika bersetubuh, sedangkan
kaum Ansar tidak biasa melakukannya.
Suatu ketika ada seorang lelaki Muhajirin hendak menyetubuhi
isterinya daripada kaum Ansar dengan cara seperti itu (melalui dubur), tetapi
si isteri menolak sebelum ada kejelasan hukumnya daripada Rasulullah SAW. Lalu
dia pun berjumpa Rasulullah SAW. Tetapi dia berasa malu untuk bertanya terus kepada
Rasulullah SAW. Maka dia bertanya kepada Ummu Salamah (isteri Nabi SAW) supaya
ditanya kepada Baginda SAW. Lalu, turunlah ayat 223 daripada Surah Al-Baqarah.
Rasulullah SAW lalu menjawab: "Tidak boleh (melalui
dubur) melainkan pada satu jalan sahaja (faraj)." (Riwayat Ahmad,
Al-Tirmizi dan beliau menyatakan ia sahih)
Berkenaan larangan memperbanyakkan bercakap ketika
bersetubuh suami isteri seperti yang disebutkan dalam hadis palsu ini, memang
ia suatu tindakan yang tidak sesuai. Banyak bercakap dan berbincang
perkara-perkara lain ketika melakukan hubungan intim memang tidak munasabah,
sedangkan perkara tersebut boleh dibualkan pada masa lain. Tetapi, jika si
suami atau isteri mengungkapkan sesuatu yang manis dan indah yang boleh
meningkatkan perasaan kasih sayang ketika itu, maka ia tidak menjadi kesalahan.
Justeru, kepada pasangan suami isteri, syariat telah
mengikat hubungan anda dengan cara yang halal dan sah. Isteri adalah hadiah
buat suami. Suami adalah anugerah buat isteri. Raikannya dengan kegembiraan dan
kesyukuran.
Nikmati ia dengan cara yang halal. Pelihara, pagari, sirami
dan bajai ladang masing-masing agar ia terus subur dan mekar. Percayalah,
kenikmatan dan keseronokan yang dirasai oleh suami isteri sedikit pun tidak
akan disia-siakan di sisi Tuhan kerana pada hubungan intim juga adalah ladang
menuai pahala.
ABD RAZAK MUTHALIB Penulis ialah Jurulatih Kanan &
Motivator di Akademi magnet Sukses. Graduan Ijazah Sarjana Kuliyah Ilmu Wahyu,
UIAM.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan