Lelaki Kudung Ditangkap Khalwat Bersama Janda Anak Tiga
Jitra – Seorang lelaki yang kudung kaki kiri dicekup selepas
disyaki berkhalwat dengan janda beranak tiga di sebuah bilik motel di Kubang
Chenok, Padang Sera, Kodiang, di sini, awal pagi semalam.
Pasangan berkenaan ditahan jam 2.30 pagi selepas pemeriksaan
dilakukan di motel yang menjadi tumpuan golongan muda untuk memadu kasih kerana
terdapat juga pusat karaoke.
Ketika serbuan, lelaki berusia 31 tahun itu membuka pintu selepas
diketuk anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) diketuai
Ku Mohd Yusof Ku Yaakob bersama 11 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)
Kubang Pasu.
Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan bertongkat dan hanya
memakai seluar ‘boxer’ ketika membuka pintu bilik serta kelihatan menggelabah
melihat kehadiran anggota penguat kuasa PADKP.
Difahamkan, lelaki berasal dari Changlun itu bergelar orang
kurang upaya (OKU) selepas parah di kaki kiri dalam kemalangan jalan raya,
sebelum ini.
Pegawai Agama Daerah Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata,
pihaknya yang menerima panggilan berhubung kegiatan maksiat memeriksa bilik
berkenaan sebelum menemui wanita berpakaian lengkap.
Katanya, hasil siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun
itu mengaku sudah bercerai dan mempunyai tiga anak, tetapi semuanya tinggal
bersama bekas suaminya.
“Mereka juga tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau
suami isteri dan wanita berasal dari Teluk Intan, Perak itu mendakwa mengikut
lelaki terbabit kerana tidak mempunyai rumah sewa kerana baru bekerja di Pekan
Jitra.
“Alasan itu tidak diterima dan mereka akhirnya mengaku
berkenalan sejak dua tahun lalu melalui laman sosial Facebook selain kerap
bertemu,” katanya.
Katanya, pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis
berhampiran untuk dibuat laporan sebelum dibawa ke pejabat agama bagi diambil
keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda
tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, operasi bersama anggota penguat kuasa AADK itu
turut membuat pemantauan kes penyalahgunaan dadah, malah kita akan melakukan
operasi dari semasa ke semasa untuk membendung gejala sosial,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan