Isteri Pelik Tiba-Tiba Suami Dan Anak Perempuan Berkepit Macam Belangkas Di Mekah.
Jangan sampai terlalu leka dengan perkara lain, tugas yang
sepatutnya menjadi keutamaan kita lupakan. Itu yang berlaku kepada Zaimah
Abdullah, yang sibuk memanjang dengan kerja dalam parti politik dan persatuan
wanita di kampungnya hingga tugas sebagai isteri terabai.
Tambahan pula, kehadiran anak perempuan berstatus ibu
tunggal yang tinggal bersama beliau dan suami membolehkan Zaimah mengambil
sikap 'lepas tangan'.
Oleh itu, semua urusan makan, minum, pakaian dan keperluan
rumah tangga digalas sepenuhnya oleh anak perempuannya itu.
Pemergian Zaimah bersama suami dan anak perempuannya
menyahut seruan Ilahi untuk menunaikan umrah di Makkah baru-baru ini membuka
mata wanita yang dulu kebanyakan masanya dihabiskan dengan berpersatuan dan
parti politik, mengenai hakikat hidup sebenar.
Barulah disedarinya, status dan tanggungjawab isteri tidak
boleh diabaikan sewenang-wenangnya kerana kebahagiaan suami isteri lebih bermakna
apabila kedua-duanya menunaikan tanggungjawab masing-masing seperti
disyariatkan agama demi mendapat keredaan Allah SWT.
Sebaik kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang
Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, hati Zaimah tiba-tiba diselubungi
perasaan cemburu melihat kemesraan suami dan anak perempuannya.
Keakraban kedua-duanya tiba-tiba menimbulkan perasaan kurang
senang di hatinya sedangkan sebelum ini memang anak perempuannya itulah yang
menguruskan keperluan bapanya termasuk apabila tiba di Tanah Suci.
Hairannya, sepanjang berada di Makkah dan berziarah ke
Madinah, hati Zaimah terus dicucuk perasaan cemburu melihat anak dan bapa itu
ibarat belangkas, ke mana saja berdua. Walaupun Zaimah sentiasa bersama mereka
tetapi jauh di sudut hatinya rasa seperti tersisih.
Beliau cuba memujuk diri dengan mengakui hubungan bapa dan
anak itu sememangnya rapat kerana duduk serumah. Kemudian, timbul kesedaran
dalam dirinya mungkin itu balasan Allah SWT kerana mengabaikan tanggungjawab
sebagai isteri selama ini.
Ibarat tayangan video, episod demi episod kesibukan
berkempen untuk parti dan penganjuran aktiviti persatuan menjadikan beliau
wanita paling sibuk di kampung terbayang di ruang matanya. Hati Zaimah terus
sayu, sedih dan menyesal.
Tidak dinafikan suaminya selama ini tidak pernah merungut
atau menghalang minat beliau bergiat aktif dalam pergerakan wanita tetapi jauh
di lubuk hati lelaki yang sudah berpuluh tahun berkongsi hidup dengannya,
Zaimah sendiri sukar menekanya.
Mengambil kesempatan berada di Tanah Suci, Zaimah tidak
putus-putus berdoa kepada Allah SWT semoga dijauhkan daripada perkara yang
boleh mengeruhkan hubungan dengan suami dan anaknya. Beliau juga berdoa supaya
hubungannya dengan suami kembali rapat.
Selepas bermuhasabah diri, Zaimah berasakan Allah SWT masih
menyayanginya kerana diberi peluang untuk menyedari kesilapan dilakukan
seterusnya berazam berubah menjadi isteri yang lebih bertanggungjawab terhadap
suami serta keluarga.
Perlahan-lahan, Zaimah cuba memberi layanan sebaiknya kepada
suaminya. Walaupun terlihat riak terkejut pada wajah suami dan anaknya melihat
perubahan itu, Zaimah kuatkan semangat untuk terus memperbaiki hubungan mereka.
Memikirkan umur yang semakin meniti senja, beliau juga sedar
sudah tiba masanya meninggalkan kerja parti dan tugas persatuan untuk memberi
tumpuan kepada amal ibadat bersama suami serta anaknya. Itu azam Zaimah apabila
tiba di tanah air nanti.
Kepada isteri, renunglah sejenak kedudukan diri supaya tidak
melakukan kesilapan seperti Zaimah kerana mungkin ini pencetus kepada kita
untuk memperbaiki diri serta mengelak daripada masalah yang boleh menggugat
keharmonian rumah tangga
SUKA ambil mudah menyebabkan kita sering terlepas pandang
atau bersikap sambil lewa sedangkan tanggungjawab adalah kewajipan perlu
dilaksanakan.
Jika tidak, masakan berlaku kes isteri dan anak teraniaya
disebabkan suami tidak menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Sebenarnya, banyak faktor menyebabkan kita gagal
menseimbangkan perhatian terhadap tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Namun,
itu sebenarnya bukan alasan jika kita tahu keutamaan sepatutnya didahulukan.
Lagipun, sebagai umat Islam kita akan dipersoalkan atas
setiap tindakan kita. Justeru, sebaiknya setiap tanggungjawab dan amanah dilaksanakan sebaiknya untuk kepentingan diri
serta semua pihak di sekeliling kita. Sumber : Meletopsensasi.blogspot.my
Ulasan
Catat Ulasan