Suami Beri Saya Masa Sampai Tahun Depan Jika Tiada Anak, Saya Akan Dicerai.
MEMBACA print screen satu mesej dari WhatsApp pengakuan
seorang isteri bakal diceraikan sekiranya masih tidak hamil memang buat VK
beremosi.
Sama ada mesej di bawah ini kisah benar atau rekaan untuk
menarik orang membeli produk, yang pasti
hati wanita akan panas dengan suami sebegini.
Ramai juga yang mungkin sudah mengeji lelaki yang rasanya
lupa diri. Dia lupa isteri hanya manusia biasa tiada kuasa untuk menentukan
rezeki anak. Dia lupa bahawa kelahiran anak itu semuanya ketentuan Tuhan.
Kalau membuat anak itu seperti menghasilkan origami, dah
tentu berderet anak diberi untuk si suami. Masalahnya bukan semudah itu. Walau kita berusaha takkan
ada si kecil yang didambakan itu jika Dia belum mengizinkan.
Bila Dia belum mengizinkan sudah tentu ada hikmahnya.
Mungkin juga kerana suami isteri ni belum bersedia. Boleh jadi belum bersedia
dari kewangan, ilmu mahu pun kesabaran. Bagaimana hendak bersabar menjaga anak
kalau dugaan sebelum punya anak pun tidak berjaya ditempuhi.
Menceraikan isteri kerana tidak memberi zuriat belum tentu
menyelesaikan masalah. Bagaimana selepas bercerai dan berkahwin lain si isteri
juga tidak dapat memberi zuriat? Adakah suami akan mengulangi perkara yang
sama.
Jika ada suami yang mahu berbuat demikian harapnya anda
berfikir semula. Fikir perasaan isteri kerana dia tidak berkehendakkan perkara
ini.
Apa yang berlaku ini adalah dugaan, sama ada pasangan mampu
bersabar atau tidak dengan penantian yang lama. Malah ada anak juga ujian Tuhan,
sama ada mereka mampu mendidik anak sebagaimana perintah-NYA.
Kepada suami itu juga jangan mudah termakan kata-kata orang
sekeliling yang mencabar keegoan. Abaikan suara-suara sumbang anda tak kuat,
tak 'power' atau tak subur kerana ada kala itu juga perkara yang meracuni
pemikiran hingga membuat keputusan di luar pertimbangan.
Jika benar situasi ini berlaku, VK cukup simpati pada isteri
ini. Bersabar dan jangan putus harap. Tapi teruskan juga tanggungjawab sebagai
isteri meski hati rasa disakiti. Walau apa yang berlaku redalah dengan
ketentuan-NYa. Pasti ada hikmahnya, percaya pada perancangan YANG MAHA ESA.
Sumber: Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan