Ghaddar Bakal Ke JDT, Nilai Perpindahan Paling Mahal Dalam Sejarah Liga Malaysia
SELEPAS beberapa minggu kecoh isu perpindahan Mohammed
Ghaddar ke pasukan bola sepak lain, hari ini pasukan Johor Darul Takzim (JDT)
mengesahkan sedang dalam perbincangan untuk mendapat pemain sensasi pasukan
Kelantan itu.
Dalam kemas kini status di akaun Facebook Johor Southern
Tigers, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menjelaskan, pihaknya sudah
menghantar surat tawaran rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA),
untuk mendapatkan penyerang dari Lubnan itu.
Bukan itu sahaja, Edwards juga memaklumkan, pembelian itu
akan menjadi satu situasi menang-menang untuk kedua-dua pasukan, dan bakal
menjadi perpindahan dengan nilai paling tinggi dalam sejarah Liga Malaysia.
"Ini adalah satu tawaran yang baik untuk kedua-dua
kelab, di mana Kelantan akan dapat menyelesaikan beberapa isu-isu kewangan
serta membeli beberapa pemain baru.
"JDT pula akan mendapat seorang pemain yang terbukti
cemerlang dengan rekod prestasi yang sentiasa mahukan kejayaan," kata
Edwards.
Ghaddar, yang sudah meledak 18 gol setakat ini, sebelum ini
mengakui akan meninggalkan Kelantan, namun tidak memperincikan pasukan mana
yang akan disertai.
Untuk rekod, Ghaddar bermain dengan Kelantan sebanyak dua
musim sebelum ini, iaitu 2012 dan 2014, selain pernah berkhidmat untuk Felda
United pada tahun 2013.-Astro AWANI
Ulasan
Catat Ulasan