Azmin Minta Tiga Exco PAS Lepas Jawatan
Tiga exco PAS di Selangor telah diminta oleh
Datuk Seri Azmin Ali supaya melepaskan jawatan masing-masing sebagai ahli exco
kerajaan negeri.
Menteri Besar Selangor membuat permintaan mengejutkan itu
semasa mesyuarat selama satu jam dengan Datuk Iskandar Samad, Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.
Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Sallehen Mukhyi juga
hadir dalam mesyuarat tersebut.
Namun, Azmin telah memberi jaminan bahawa PAS masih boleh
kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat
kemenangannya pada pilihan raya umum 2013.
Difahamkan, wakil PAS akan terus menikmati peruntukan
pembangunan negeri, kekal sebagai ahli majlis perbandaran dan jawatankuasa
kampung.
Azmin memanggil mesyuarat itu berikutan keputusan Majlis
Syura PAS pada Khamis menamatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan
PKR.
Beliau menerima tekanan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan
untuk memutuskan hubungan dengan PAS kerana tidak masuk akal untuk mereka
‘tinggal serumah’ selepas parti itu mengumumkan ‘perceraian’.
Difahamkan bahawa wakil-wakil PAS terkejut dengan permintaan
menteri besar dan mereka mahu berbincang dengan parti sebelum tampil dengan
satu keputusan.
Turut difahamkan, pemimpin-pemimpin PAS telah dimaklumkan
mengenai perkara ini dan mesyuarat pimpinan tertinggi parti akan dipanggil
tidak lama lagi.
Langkah ‘luar jangkaan’ oleh Azmin itu telah mengejutkan
pimpinan PAS kerana parti itu tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan
mana-mana jawatan dalam kerajaan negeri walaupun Majlis Syura telah membuat
keputusan mengenai hubungan mereka yang boleh diibaratkan sebagai ‘cerai talak
tiga’.
Dalam mesyuarat itu, Sallehen, yang baru-baru ini mengambil
alih jawatan daripada Iskandar sebagai ketua pesuruhjaya PAS negeri,
menjelaskan bahawa dasar tahaluf siyasi itu akan digantikan dengan konsep
taawun, satu kerjasama untuk manfaat rakyat dan negara.
Sallehen berkata konsep taawun akan membolehkan PAS
menjalankan tugasnya dalam kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun, difahamkan Azmin tidak berminat dengan
penjelasan itu yang difikirkan tidak akan diterima baik orang masyarakat umum
di Selangor.
Sumber PAS berkata mesyuarat antara Azmin dan wakil-wakil
PAS berlangsung dengan baik walaupun menteri besar melahirkan rasa kesal dengan
keputusan Majlis Syura untuk menamatkan hubungan antara dua parti.
Alasan yang diberikan termasuklah kegagalan PKR untuk
menyokong agenda Islam PAS, termasuk isu RUU355 dan serangan pemimpin PKR
terhadap kepimpinan PAS.
Sebab-sebab lain adalah, PKR sedang merancang untuk
bekerjasama dengan parti lain untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang
PAS di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil lalu.
Azmin bertemu media selepas mesyuarat itu tetapi enggan
mengulas mengenai butiran perbincangan kecuali menyatakan kekecewaannya dengan
keputusan Majlis Syura dan mengatakan bahawa beliau akan memberi taklimat
kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sedang dalam
perjalanan pulang dari New York.
Azmin kemudian memberitahu The Star bahawa kestabilan
kerajaan negeri adalah paling utama, dan beliau perlu mengkaji situasi sebelum
membuat keputusan muktamad.
“Saya telah melakukan segala yang mungkin dari segi
kemanusiaan, melalui perbincangan dan rundingan tetapi mereka telah menutup
pintu. Kesabaran ada hadnya,” katanya.
Walaupun sedang berdepan krisis, Azmin dan ahli-ahli exco
negeri PAS dilihat berbual secara baik pada satu majlis di Rawang.
Azmin kemudian memberitahu pemberita bahawa PKR bersedia
untuk bertanding menentang PAS dalam pilihan raya umum. – mStar Online
Ulasan
Catat Ulasan