Kanak-Kanak 5 Tahun Koma, Tempurung Kepala Pecah Jatuh Ketika Bermain Inflatable Bouncer
GEORGE TOWN – Seorang kanak-akan berusia lima tahun kini
koma selepas terjatuh dari ketinggian hampir mencecah 10 meter ketika bermain
inflatable bouncer, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian di kediaman mereka di Persiaran Sungai
Gelugor, Ahad lalu, Syarul Ariel Fifqi Mohd Azriq, 5, terjatuh ketika bermain
inflatable bouncer yang disewa khas daripada sebuah syarikat katering.
Ibu mangsa, Norsyaliza Yahaya, 32, berkata, dia mengadakan
majlis sambutan hari jadi untuk bapanya dan menyewa peralatan permainan
berkenaan untuk kanak-kanak yang dipasang di hadapan rumah mereka oleh pekerja
katering pada jam 3 petang. Kemudian Syarul Azriel bersama sepupu yang lain
bermain peralatan gelongsor berkenaan.
“Bagaimanapun setengah jam selepas itu, anak saya terjatuh
kerana alat permainan itu terbalik dan kepalanya terhentak di atas tar dan
menyebabkan dia tidak sedarkan diri.
“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terus membawa anak ke
hospital dan dia menjalani ujian MRI sebelum doktor mengesahkan ada keretakan
serta pendarahan di kepalanya,” katanya.
Mangsa kini masih dalam keadaan koman di Unit Rawatan Rapi
Hospital Lam Wah Ee.
Menurut Norsyaliza, berikutan kejadian itu, Syarul Azriel
menjalani dua pembedahan di otak kiri dan kanan pada hari yang sama dan kini
masih belum sedarkan diri.
“Doktor memberitahu tempurung kepala anak saya pecah serta
sebahagian daripada otaknya rosak dan saya tidak tahu apa yang bakal berlaku
kepada anak saya selepas ini,” katanya.
Norsyaliza kesal dengan syarikat katering berkenaan yang
dilihat cuba mengambil sikap lepas tangan kerana pekerja yang memasang
peralatan berkenaan tidak melakukannya dengan betul.
“Saya difahamkan, sepatutnya pekerja yang memasang peralatan
terbabit mengikat tali untuk mengelak daripada terbalik. Namun mereka tidak
melakukannya.
“Selain itu saya turut kesal kerana pihak syarikat terbabit
langsung tidak bertanya khabar dan bersemuka dengan kami untuk berbincang bagi
menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Ekoran kejadian itu, Norsyaliza membuat laporan polis dan
akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik syarikat katering
berkenaan.
Sementara itu, pihak katering telah memberi keterangan
kepada pihak polis dan berserah kepada mereka untuk mengambil tindakan
undang-undang kerana kejadian yang berlaku sebenarnya adalah kemalangan dan
bukan kecuaian mereka.
Pemilik syarikat katering yang tidak mahu didedahkan nama
itu berkata, sepatutnya pengawasan kanak-kanak ketika bermain peralatan itu adalah
tanggungjawab ibu bapa dan pihak katering tidak sepatutnya dipersalahkan.
“Semua perjanjian itu memang sudah ada dalam syarat
ditetapkan pihak syarikat dan tugas kami hanya memasang peralatan tersebut.
Pekerja kami sudah melakukan apa yang termampu dan saya rasa kejadian ini
berlaku mungkin disebabkan aksi kanak-kanak terbabit yang aktif ketika bermain
sehingga membuatkan peralatan itu terbalik.
“Jika terlalu ramai kanak-kanak bermain, memang mereka sukar
dikawal dan disebabkan itu kami meletakkan syarat meminta penjaga mengawasi
tingkah laku anak-anak mereka sendiri dan tidak menyerahkan tugas itu kepada
pekerja syarikat,” katanya.
Dalam kenyataan kepada Harian Metro itu, pemiliknya turut
menjelaskan pihaknya ada menghubungi keluarga mangsa untuk bertanya khabar
serta mengetahui perkembangannya. Namun buat masa ini mereka enggan bertemu
dengan keluarga berkenaan kerana sudah menyerahkan kes itu kepada polis untuk
siasatan lanjut.
“Jika keluarga berkenaan mahu mengambil tindakan
undang-undang terhadap kami, itu terserah kepada mereka kerana bagi saya,
pekerja mengikut prosedur ditetapkan ketika memasang peralatan terbabit,”
katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan