Ibu Campak Bayi Dari Tingkat 9 Menara Berjaya Diselamatkan.

LONDON – Kebakaran yang berlaku di Menara Grenfell, Utara Kensington, London pada pagi semalam betul-betul mengejutkan dunia.

Kebakaran tersebut menyebabkan jumlah angka korban yang banyak kerana mereka dikatakan sukar untuk menyelamatkan diri masing-masing selepas api merebak dengan pantas sekali.

Seorang wanita ketika ditemui berkata dia kehilangan dua daripada enam anaknya ketika cuba melarikan diri dari kebakaran yang berlaku di Menara Grenfell tersebut.

Menurut saksi, penghuni lain cuba mencampakkan anak-anak mereka ke luar tingkap dengan harapan mereka terselamat.

Satu keajaiban berlaku apabila seorang bayi terselamat selepas dicampak dari tingkat sembilan blok menara.

Enam orang disahkan terbunuh dan polis menjangkakan jumlah kematian terus meningkat dalam kejadian kebakaran di blok pangsapuri 24 tingkat di pusat bandar London itu.

Lebih 60 dilaporkan cedera.

Pemerhati dan penduduk sekitar melaporkan adegan panik.

Kepingan besar serpihan dapat dilihat jatuh dari Menara Grenfell, yang terletak tidak jauh dari kawasan Notting Hill.

“Semua orang terkejut, semua orang melarikan diri, menjerit,” kata seorang penduduk, Michael Paramasivan kepada radio BBC.

“Saya sempat bercakap dengan seorang wanita yang tinggal di tingkat 21. Dia ada enam anak. Dia meninggalkan rumah bersama enam anaknya. Bila sampai di tingkat bawah, anaknya cuma ada empat orang. Dia sangat sedih,” katanya.

Seorang pemerhati, Samira Lamrani, berkata dia telah melihat seorang bayi dicampak dari tingkap tingkat sembilan atau 10 menara.

“Orang ramai mula muncul di tingkap, sambil menjerit,” katanya kepada akhbar London’s Evening Standard.

“Ada satu tingkap terbuka sedikit, seorang wanita memberi isyarat bahawa dia mahu mencampak bayinya dan mahu seseorang menangkap anaknya dari bawah.

“Seseorang telah melakukannya, seorang lelaki berlari dan berjaya menangkap bayi berkenaan,” kata Lamrani.

Seorang lagi saksi, Tamara, memberitahu BBC bahawa dia juga melihat mangsa yang terperangkap cuba mencampakkan anak-anak mereka untuk diberi bantuan keselamatan.

“Mereka seperti melemparkan sahaja anak-anak mereka ke bawah, ‘hanya selamatkan anak-anak saya, hanya selamatkan anak-anak saya’,” katanya.

“Ada orang di tingkap menjerit ‘tolong saya, tolonglah saya’, kamu boleh nampak api memusnahkan rumah mereka dan membakar satu-satunya bilik di tempat mereka berada,” katanya. – Suara.TV

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kisah Benar, Isteri Aku Berlaku Curang Dengan Boss Aku.

Saya Terkejut Dijemput Menyertai Group WhatsApp Yang Menjijikkan Itu..

10 Gambar Dan Video: Percaya Atau Tidak, Harimau, Beruang Dan Singa Ini Berkawan Baik Sejak Kecil.