Vida Mahu Jadi Penyanyi Setanding PSY Dan Rihanna
Dikenali ramai dengan tagline Qu Puteh Qu Puteh Barulah
Putih!, usahawan selebriti Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali
sebagai Datuk Vida nampaknya masih tidak senang duduk dengan status yang
dikecapi hari ini.
Bagi pengasas produk kecantikan yang lebih dikenali sebagai
Datuk Seri Vida itu, beliau mahu cuba meneroka sesuatu yang baharu bagi memajukan
empayar perniagaannya.
Kini, wanita kelahiran Machang, Kelantan ini mencuba nasib
untuk bergelar penyanyi pula.
Bukan lagu berbahasa Melayu tapi Vida mengambil risiko untuk
menyanyi dalam Bahasa Inggeris.
Namun, ibu kepada empat anak ini mengakui sudah bersedia
dikritik dan dikecam melalui single pertamanya yang akan menemui peminat tidak
lama lagi.
“Soal akan dikecam, saya awal-awal lagi sudah bersedia
dengan perkara itu kerana setiap orang berhak memberi pandangan masing-masing.
“Cuma ingin saya tegaskan, saya bukan syok sendiri dan harap
peminat menerima kehadiran saya di dalam industri hiburan. Saya juga mahu
mereka sentiasa berada di belakang saya,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Vida, beliau terdorong untuk bergelar penyanyi kerana
menganggap ia sebagai platform baharu untuk memperkenalkan jenama produknya ke
peringkat global.
Katanya, beliau menjadikan penyanyi Korea Selatan PSY,
Pikotaro yang terkenal dengan PPAP dan Rihanna sebagai inspirasi dalam
menghasilkan lagu tersebut.
“Kita lihat kenapa PSY diterima satu dunia. Jadi untuk pergi
ke pasaran global saya perlu perkenal diri saya. Saya harap saya dapat diterima
seperti dia,” katanya.
Ditanya mengenai perasaan memasuki studio rakaman malam
Selasa, Vida berkata beliau teruja dan tidak sabar untuk mendengar hasil lagu
sentuhan komposer terkenal, Edry Abdul Halim.
“Sudah tentu seronok. Kalau ikutkan ini kali kedua saya
masuk ke studio. Dulu saya tak berapa yakin tapi sekarang saya lebih berani
dengan kebolehan saya,” katanya.
Menurut Vida, beliau memilih lagu berentak fun & cheeky
yang sesuai untuk didengari semua lapisan umur bermula dari kanak-kanak kecil
sehingga dewasa.
“Lagu ini juga berkonsep satu keluarga. Saya pasti liriknya
senang diingat sesiapa sahaja daripada kanak-kanak mahupun orang tua,” katanya.
Beliau berharap single pertamanya itu akan menemui peminat
sebelum Ramadan ini. – mstar
Ulasan
Catat Ulasan