Suspek Kes Samun, Rogol Pernah Ditahan Polis Wangsa Maju
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua suspek yang dipercayai
terbabit kes samun dan rogol di sebuah premis judi dalam talian di Bandar
Kinrara, Puchong, Khamis lalu, pernah ditahan untuk pemeriksaan di Wangsa Maju
selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy
Suhaimi Sarif, ketika dihubungi BH, hari ini mengesahkan kedua-dua suspek
ditahan sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan
Genting Klang, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.
Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya ada menerima maklumat
mengenai kegiatan dua lelaki yang aktif melakukan samun premis perniagaan di
beberapa daerah lain.
"Ciri-ciri dimiliki kedua-dua suspek berkenaan menepati
maklumat berkenaan, justeru mereka ditahan untuk pemeriksaan.
"Pemeriksaan mendapati dua lelaki itu adalah
adik-beradik berasal dari Setapak berusia 22 tahun dan 26 tahun.
"Semakan lanjut tidak menemui sebarang rekod jenayah
lampau atau sebarang kesalahan yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan
jenayah.
"Selepas selesai semakan terhadap latar belakang serta
kenderaan (motosikal) dinaiki mereka, kita tidak menemui senjata atau sebarang
perkara salah, maka kedua-duanya dibebaskan pada hari sama," katanya.
Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan ke atas suspek,
pihaknya tidak mengetahui mereka ada melakukan jenayah di Serdang sebelum itu.
"Anggota kita memang ada mengambil beberapa gambar
ketika kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Setapak untuk proses semakan
sebagai rekod mereka.
"Sejurus video kejadian itu menjadi viral, kita ada
berhubung dengan polis daerah Serdang untuk berkongsi maklumat dan kita sedia
membantu untuk mengesan suspek," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten
Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata identiti kedua-dua
suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.
Terdahulu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian
berkenaan viral di media sosial sejak Jumaat lalu menunjukkan dua lelaki
merogol seorang wanita secara bergilir-gilir.
Rakaman video berdurasi empat minit lima saat itu nyata
menimbulkan kemarahan netizen dan rata-rata mereka menggesa pihak polis
menyelesaikan kes itu dengan segera.-Berita Harian Online
Ulasan
Catat Ulasan