Pas Dilabel Sebagai Parti 'Tidak Bermaruah' Di Selangor - Noh Omar
SHAH ALAM - Pas Selangor dilabel sebagai parti 'tidak
bermaruah' dan oportunis kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan
Selangor walaupun hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR
ditamatkan semalam.
Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata alasan
parti Islam itu untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu
menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah tidak
munasabah.
Ini kerana katanya mandat rakyat adalah berdasarkan
manifesto DAP-PKR-Pas yang diterajui bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang telah dipecat.
"Kalau Pas kata PKR khianat syarat tahaluf siyasi,
kenapa masih mahu berada dalam kerajaan Selangor? Pas dan PKR ibarat 'suami
isteri' yang sudah bercerai tapi masih mahu tinggal bersama... Pas sanggup jadi
'suami' dayus.
"Saya yakin ketiga-tiga anggota Exco Pas ini tidak akan
letak jawatan. Mereka mahu kekal menunjukkan mereka sanggup ketepikan
perjuangan parti demi kuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noh juga tidak menolak kemungkinan tindakan Pas Selangor itu
akan menyebabkan berlaku tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Pas, Adun
atau anggota Exco Kerajaan Negeri daripada parti Islam itu.
"Jika Pas keluar daripada kerajaan Selangor, Pakatan
Harapan (DAP-PKR-Parti Amanah Negara) masih cukup untuk wujudkan komposisi
pemerintahan baharu...Pas kini pembangkang di Selangor," katanya.
Disebabkan itu katanya, rakyat Selangor harus membuka mata
dan bijak membuat perbandingan sama ada mahu memilih pakatan parti politik
dengan krisis dan perpecahan tidak berkesudahan atau solidariti dan kebersatuan
yang ditunjukkan Barisan Nasional.
Semalam, Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara menamatkan
tahaluf siyasi dengan PKR serta merta susulan parti itu dikatakan melanggar
beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama itu.
Keputusan itu memberi impak kepada kedudukan tiga Exco Pas
dalam kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden PKR
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi dalam
satu kenyataan semalam menyatakan tiga Exco itu, Datuk Iskandar Abdul Samad,
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib kekal berkhidmat dalam
kerajaan negeri sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan. -Bernama
Ulasan
Catat Ulasan