Pandikar Tawar Diri Jadi Calon Barisan Nasional
Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan dirinya mempunyai pengalaman
yang cukup untuk menjelaskan isu-isu berbangkit kepada rakyat jika dipilih
sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, sejak sembilan tahun menjawat jawatan speaker
Dewan Rakyat, beliau kini lebih memahami pelbagai isu yang sering dibangkitkan
oleh kerajaan dan pembangkang pada persidangan dewan.
“Kalau saya menawarkan diri saya begitu (menjadi calon
pilihan raya umum), barangkali sayalah yang paling sesuai kerana telinga saya
yang sudah mendengar hujah daripada kerajaan, daripada pembangkang selama
sembilan tahun mengenai isu global, isu domestik, isu nasional.
“Kalau saya dibenarkan untuk berpolitik kembali, di
peringkat akar umbi yang paling penting ialah apabila kita faham isu-isu yang
dibangkitkan, kita dapat memperjelaskan kepada masyarakat,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kota
Belud dan Program Negaraku@Komuniti di sini hari ini.
Sambil berseloroh mengenai umur sebenarnya, Pandikar Amin,
60-an, berkata usia seseorang bukan penghalang kepada usaha memajukan dan
memakmurkan rakyat keseluruhan.
Malah, beliau berkata kepelbagaian cara setiap pemimpin yang
berpengalaman boleh dianggap sesuatu yang baik untuk negara.
“Contohnya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, seorang
pemimpin yang lama berkhidmat di Semenanjung dan lama berkhidmat di Sarawak dan
berumur pula.
“Tetapi apabila Allahyarham balik ke Sarawak sebagai ketua
menteri, dengan gayanya yang tersendiri oleh kerana sarat dengan pengalaman,
Barisan Nasional menang balik kawasan-kawasan yang dimenangi oleh DAP dulu pada
pilihan raya negeri,” katanya.
Pandikar Amin mengakui berminat untuk kembali ke dunia
politik di Sabah, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan Umno dan Barisan
Nasional untuk menentukan sama ada beliau sesuai dicalonkan pada pilihan raya
umum akan datang sama ada untuk kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
“Itu adalah hak pucuk pimpinan parti…. saya cuma menawarkan
diri,” katanya.-Malaysiakini
Ulasan
Catat Ulasan