Majlis Syura Ulama Sahkan Hubungan PAS Dan PKR Putus.
Majlis Syura Ulama PAS hari ini menerima usul dibawa dalam
muktamar parti itu baru-baru ini bagi memutuskan bahawa tahaluf siyasi mereka
dengan PKR terbatal.
Perkara itu diumumkan setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad
Zawawi Salleh.
"Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa dengan merujuk
begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi, maka hubungun politik telah
terbatal," katanya.
Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada
begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut
pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.
Antaranya, kata beliau, tindakan PKR tidak menyokong - malah
menentang - sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS.
Beliau memetik usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sebagai contoh tindakan PKR itu.
Katanya, PKR juga melanggar adab berkerjasama dalam politik
seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang
merosakkan imej parti berkenaan.
"Khianat dalam hubungan politik dengan PAS.
"Antaranya dengan bekerjasama dengan pihak yang mahu
menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS dalam pilihan raya kecil Sungai
Besar dan Kuala Kangsar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di
Kuala Lumpur hari ini.
Antara anggota Majlis Syura Ulama PAS yang hadir hari ini
ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Anggota Parlimen Pasir Mas
yang juga ahli jawatankuasa pusat parti itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan ketua
penerangan, Nasrudin Hassan.
Bagaimanapun, mengenai isu di Selangor, Majlis Syura Ulama
PAS berkata, keputusan lanjut mengenainya diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja
Pusat.
Majlis Syura Ulama menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan
merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.
Sementara itu, ditanya sama ada pintu rundingan dengan PKR
masih terbuka, Nik Muhammad Zawawi berkata, PAS sedia bertemu dengan parti itu.
"Ya, boleh berjumpa (untuk rundingan)," katanya.
Sebelum ini seorang daripada pemimpin tinggi PKR menyatakan
kesanggupannya bertemu dengan PAS bagi membincangkan perancangan masa depan
mereka.
Pada 9 Mei lalu Malaysiakini melaporkan, Datuk Seri Azmin
Ali sebagai berkata, beliau sanggup bertemu presiden PAS walaupun kedua-dua
parti kini mempunyai perbezaan.
Ulasan
Catat Ulasan