Isteri Nusyuz Suami Dayus.

"DUA tiga hari ni, asal abang balik kerja mesti awak tidak ada di rumah, awak ke mana? Pagi tadi, awak tak mintak izin pun nak keluar rumah," tanya suami baik-baik, tapi isterinya menunjukkan wajah tidak berpuas hati.

Suami adalah nakhoda dalam sesebuah bahtera rumah tangga dan semestinya setiap apa yang diperintahkannya itu perlu ditaati dan bukannya dibangkang. Justeru, apa yang perlu dilakukan si suami apabila suri hatinya sering membelakangi?

Dalam menelusuri alam perkahwinan, sebuah rumah tangga itu tidak akan lari daripada ujian.  Pertengkaran, ketidakfahaman dan pelbagai permasalahan lain adalah biasa dalam kehidupan berumah tangga.

Bezanya, mampu atau tidak pasangan berkenaan bersabar dan bertahan. Berbalik kepada situasi di atas, apakah seorang isteri itu telah nusyuz, apabila suami berasa hati  kerana isterinya keluar rumah tanpa keizinan?  Ikuti kupasan lanjut berikut:

Nusyuz dari segi bahasa bermaksud tempat yang tinggi (menonjol). Sedangkan sudut istilah pula bermakna isteri yang derhaka kepada suaminya dalam perkara yang melibatkan ketaatan serta tindakan yang keterlaluan.

Mazhab Hanafi berpandangan nusyuz itu adalah apabila seseorang isteri keluar rumah  tanpa kebenaran suaminya. Manakala, jumhur ulama terdiri daripada ulama aliran mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menyatakan nusyuz terjadi saat isteri ingkar perintah si suami.  Sedangkan seorang isteri harus patuh kepada suaminya selagi perintah berkenaan tidak melanggar hukum syarak.

Al-Allamah Asy-Syaikh Abdurrahman bin Nasir al-Sa'di  dalam tafsirnya berkata:

"ALLAH berfirman: "Dan isteri-isteri yang kalian khuatir nusyuz, maksudnya mereka menarik diri dari mentaati suami dengan bermaksiat (tidak patuh) kepada suami, baik dengan ucapan ataupun perbuatan, maka suami hendaknya memberikan 'pengajaran' kepada isteri dengan cara yang paling mudah/ringan kemudian yang mudah/ringan.

Pertama: Berilah mau'izhah (mengingatkan seseorang dengan pahala dan hukuman yang dengannya dapat melunakkan hatinya) kepada mereka, dengan menerangkan hukum ALLAH dalam perkara taat dan maksiat kepada suami, memberikan anjuran untuk taat kepada suami serta mengingatkan  mereka akibat berbuat demikian terhadap suami.

Sekiranya isteri masih leka dengan perbuatannya, maka asingkanlah tempat tidurnya dan jangan menggaulinya dalam waktu dia berbuat demikian.  Jika isteri masih lagi tidak mahu berubah pukullah dengan pukulan yang mendidik.
Apabila isteri tidak lagi berbuat nusyuz dan isteri kembali mentaati kalian, janganlah kalian mencela dan mencerca mereka atas kesalahan mereka yang telah lalu, dan jangan menyelidiki/mencari-cari kesalahan yang akan bermudarat bila disebutkan serta menjadi sebab timbulnya kejelekan." (Taisir Al-Karim Al-Rahman, halaman 177)

Lihatlah betapa Islam menjaga hubungan kekeluargaan, setiap permasalahan yang mendatang akan diberi tunjuk ajar dan panduan bagi mengelakkan terjadinya sesuatu yang mendatangkan mudarat dan keburukan.

Isteri nusyuz suami dayus

PASTI terfikir juga di benak ini hanya isterikah yang melakukan kesilapan. Isteri apabila berbuat salah kepada suaminya ia boleh diertikan nusyuz. Tapi jika suami? Nusyuz bukan hanya dalam kalangan isteri, tetapi ia juga berlaku kepada suami. Seorang suami yang cuai dan tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam erti kata sebenarnya juga boleh dilabel sebagai dayus.

Menurut Muhammad Qutb dan Dr Muhammad 'Uqlah: "Jika isteri dianggap nusyuz apabila dia menderhakai suaminya, tidak menunaikan kewajipan dan kelaur rumah tanpa izin suaminya, maka suami juga boleh dianggap nusyuz dengan sebab dia enggan memberikan nafkah kepada isterinya.

Dr Mustafa Al-Khin dan Dr Mustafa Al-Bugha dalam Al-Fiqh Al-Manhaji menganggap bahawa nusyuz suami terjadi apabila berlaku pengabaian dan keengganan pada pihak suami  dengan tidak menunaikan giliran, tidak memberikan nafkah, mendera isteri, berkasar dengannya sama ada dengan perbuatan atau pertuturan.

Sehubungan itu, suami nusyuz atau dayus boleh ditakrifkan sebagai suami yang enggan menunaikan hak spiritual isteri iaitu berkomunikasi yang baik, memenuhi kepuasan seksual dan memberikannya pendidikan agama serta tidak dikasari, dihina. Hak material isteri pula ialah pemberian mas kahwin dan nafkah yang wajib ditunaikan.

Sekiranya suami  dayus, isteri hendaklah bersabar. Isteri perlu mengingatkan suami mengenai kewajipan yang perlu dilakukannya seperti yang dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah An-Nisaa; ayat 19.

Isteri juga boleh mengingatkan suami berkenaan dengan hadis Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa lelaki yang paling baik ialah suami yang baik terhadap isterinya. Walau bagaimanapun, kesabaran seorang isteri ada batas dan hadnya. Agama Islam adalah agama yang sempurna dan pasti ada penyelesaian untuk isteri yang berdepan dengan suami yang dayus.

Isteri boleh membawa kes ini kepada kadi atau ke mahkamah syariah untuk mendapat semula haknya dan mendapat keadilan sewajarnya sebagai seorang isteri. Dan jika masalah ini berpanjangan dan isteri sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi, maka jika perpisahan adalah jalan terbaik kepada pasangan berkenaan, lakukanlah.

Suami adil

KEPERIBADIAN Rasulullah SAW sebagai seorang suami perlu dijadikan teladan. Suami di luar sana perlu cenderung kepada gaya dan cara Baginda SAW mengemudi rumah tangga. Kekadang, bukan kerana isteri itu yang mahu nusyuz tetapi dek kerana perasaan tidak puas hatinya dengan sikap suami.  

Kita tahu bahawa Rasulullah SAW memiliki ramai isteri. Di antara isteri-isterinya ada yang lebih Baginda SAW cintai daripada yang lain. Sebab, cinta adalah urusan hati yang berada di tangan-Nya sesuatu yang di luar kemampuan hamba.

 Aisyah RAH adalah isteri yang paling dicintai Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri menyatakan dan mengakuinya. Ditanyakan kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling dicintai?."

Baginda SAW menjawab: "Aisyah."

Ditanyakan: "(Kalau) dalam kalangan lelaki?"

Baginda SAW menjawab: "Ayahnya," (Riwayat At-Tirmizi, dinyatakan sahih oleh Al-Albani RHM dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi no 3890)

Rasulullah SAW tidak membezakan penggiliran di antara isteri-isterinya. Setiap hari Baginda SAW akan menemui semua isterinya. Baginda SAW mendekati semua isterinya tanpa 'menyentuh', hinggalah sampai di rumah isteri yang beroleh giliran di hari tersebut, lalu bermalam di rumahnya.

Tatkala Saudah telah lanjut usia dan dia khuatir jika Rasulullah SAW akan menceraikannya, dia berkata: "Giliran hariku untuk Aisyah."

Rasulullah SAW pun menerima tawaran tersebut. "Apabila seorang isteri khuatir nusyuz daripada suaminya…." (Riwayat Abu Dawud no 2135, hadis ini hasan sahih sebagaimana dalam Sahih Sunan Abi Dawud)

Aisyah berkata: "Rasulullah menggilirkan setiap isterinya, siang dan malamnya, kecuali Saudah bintu Zam'ah. Dia telah menghadiahkan siang dan malamnya untuk Aisyah isteri Nabi dalam rangka mencari reda Rasulullah." (Riwayat Bukhari no 2593)

Ketika bermusafir, Rasulullah SAW tidak mengutamakan isteri yang Baginda SAW cintai untuk selalu diajak bersamanya. Sebaliknya, Baginda SAW mengundi isteri-isteri manakah yang akan dibawa.

Termasuk keadilan Rasulullah SAW adalah ketika menikahi janda, Baginda SAW bermalam di kediamannya selama tiga hari agar terjalin perhubungan dengan isteri baharu. Setelah tiga hari, giliran isteri yang baharu tersebut sama dengan isteri-isteri yang lain.

Sikap adil Baginda SAW langsung tidak berkurangan walaupun saat Baginda SAW sakit.  Baginda SAW tetap bergilir di rumah isteri-isterinya. Sehinggalah Baginda SAW berasa payah kerana sakitnya semakin tenat. Aisyah meriwayatkan: "Ketika sakit Rasulullah bertambah parah, Baginda meminta izin kepada isteri-isterinya untuk dirawat di rumahku. Mereka pun mengizinkan …." (Riwayat Bukhari no 5714)

Pergaulan Rasulullah SAW dengan isteri-isteri Baginda SAW adalah teladan bagi orang-orang beriman. Oleh kerana itu, seharusnya kita mengenali dan mempelajarinya, lantas mencontohinya. Sebab, apa yang dilakukan Baginda SAW adalah bentuk pensyariatan dan petunjuk kepada umat Baginda SAW, agar dicontohi dan diteladani.-Sinar Harian

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kisah Benar, Isteri Aku Berlaku Curang Dengan Boss Aku.

Saya Terkejut Dijemput Menyertai Group WhatsApp Yang Menjijikkan Itu..

10 Gambar Dan Video: Percaya Atau Tidak, Harimau, Beruang Dan Singa Ini Berkawan Baik Sejak Kecil.