Surat Terbuka Untuk Thaqif, Maafkan Kami Yang Selalu Sibuk Dengan Segala Kekalutan Sia-Sia.
Ke hadapan anakanda Thaqif, Kita tidak pernah bertemu, apa lagi saling mengenali. Cuma
kami mula mendengar nama anakanda mulai minggu lalu. Sejak itu dari sehari ke
sehari ayahanda mula terdengar orang bercerita tentang anakanda.
Entah berapa kali ada orang menunjukkan gambar kaki anakanda
kepada ayahanda dan entah berapa kali juga ayahanda melihatnya sekali imbas
saja.
Bukanlah kerana ayahanda benci, jijik atau meluat dengan
gambar kaki anakanda yang menghitam itu, bahkan kerana luluhnya perasaan
mengenangkan betapa sakit dan risaunya anakanda dan keluarga menanggungnya.
Seberat manalah mata yang memandang berbanding, bahu yang
memikul, tentu berat lagi menanggung sendiri beban dugaan sebegitu.
Sejak petang semalam, sesungguhnya terlampau banyak gelora
yang melanda dalam jiwa tetapi terlalu sedikit kata-kata yang dapat
menggambarkan apa yang sebenarnya kami rasa.
Anakanda Thaqif,
Kita ditakdirkan bernafas dalam dunia yang sakit. Malangnya
kesakitan itu selalu pula sentiasa kami nafikan. Ia adalah kesakitan bersama,
tetapi kami enggan mengakuinya sebagai kesakitan. Kami hidup selesa dengan
berpura-pura dan menafikan ketika langkah pertama mengatasi masalah ialah
mengakui adanya masalah.
Masalah saling curiga mencurigai, masalah berebut kuasa,
masalah berasa diri sendiri suci, berebut-rebut menjadi badut dan
berlumba-lumba menjadi enau dalam belukar.
Pada masa sama sebahagian besar kita juga bergelut dengan
masa dan kehendak semasa tanpa ada pilihan yang banyak.
Maka datanglah penjual-penjual mimpi membawa karung yang
besar berisi angan-angan. Di tangannya kadang-kadang tergenggam tasbih, atau
kitab itu ini menagih kepercayaan orang ramai.
Kita dikhabarkan bahawa agama adalah jawapan kepada segala
kerumitan. Tetapi pada masa sama agama diuruskan seperti komoditi atau hak
peribadi.
Syurga dan neraka adalah hak eksklusif orang tertentu yang
boleh menghukum sesiapa saja yang tidak sependapat dengannya.
Thaqif yang dihormati,
Dalam keributan berebut-rebut menjadi juara agama, kami jadi
alpa kepada suara-suara terpendam pada halkum orang lain seperti anakanda.
Surat-surat tidak terkirim atau catatan-catatan terpendam menjadi laungan
terendam dalam diam.
Kita hidup dalam dunia yang serba sakit, anakanda.
Benar sangatlah bahawa perancangan Allah itu adalah yang
terbaik. Tetapi pada kebanyakan, masa kami jadikan ungkapan itu sebagai dalil
untuk melepaskan diri daripada rasa bersalah diri sendiri. Kami tidak pernah
mahu mengaku salah.
Agaknya kita selama ini sudah tersilap mentafsir agama dan
bangsa. Atas nama agama - atau biasanya disertakan dengan justifikasi bangsa -
kami selalu tertipu kerana berasa diri terlalu tinggi, angkuh dan berhak
berbuat apa saja sedangkan hakikat adalah sebaliknya.
Agama - atau bangsa - memang menjadikan seseorang istimewa.
Tetapi keistimewaan itu tidak menghalalkan kita berbuat apa saja bahkan
'kelebihan' itulah yang membawa kepada rasa rendah diri, membumi dalam jutaan
kekurangan, bukan melangit dengan kesombongan.
Kita sepatutnya hidup dalam dunia yang penuh kasih sayang.
Atas nama kecintaan kepada agama - dan bangsa - kami
sepatutnya lebih berhati-hati, sentiasa bimbang kemurkaaan Tuhan dan harus
mengawal diri.
Namun sebaliknya, anakanda, agama - dan bangsa - yang
difaham secara songsang tanpa disedari itulah yang selalu membawa kami lupa
diri.
Berehatlah dengan tenang, anakanda. Doa-doamu yang tercatat
dalam buku latihanmu sudah termakbul rasanya. Di mata dunia anakanda mungkin
belum menjadi huffaz seperti yang anakanda impikan. Tapi keinginanmu berpindah
sudah terlaksana.
Tuhan tidak membawa anakanda ke sekolah baru, sebaliknya Dia
memindahkan anakanda ke alam baru, sebuah tempat yang jutaan kali lebih baik
daripada sekolah baru.
Ia tempat selayaknya untuk anakanda yang sentiasa
bercita-cita menjadi anak yang taat kepada ibu bapa.
Berehatlah dengan tenang anakanda. Dan maafkan kami yang
selalu sibuk dengan segala kekalutan sia-sia.-Malaysiakini
Ulasan
Catat Ulasan