4 Gambar: Rangka Manusia Purba Dipercayai Wanita Zaman Neolitik.
KEPALA BATAS: Penemuan terbaru rangka dipercayai milik
manusia purba di tapak pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang membuktikan wujud manusia
pra-sejarah zaman Neolitik di Semenanjung Malaysia pada ketika itu.
Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti
Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata, berdasarkan penemuan,
gigi rangka berkenaan berkemungkinan milik seorang wanita dari zaman itu yang
ditanam mengikut adat masyarakat purba yang menggunakan kulit kerang dan kepah.
Selain kubur dan tulang dipercayai bahagian rusuk, turut
ditemui di tapak itu ialah alat pemburuan dan batu laut dipercayai pernah
digunakan manusia zaman Neolitik kira-kira 5,000 tahun lalu.
Bagaimanapun, pengesahan mengenai jantina dan punca kematian
serta genetik hanya akan dapat diketahui dan disahkan selepas analisa di makmal
selesai dilakukan.
Dalam masa sama ahli arkeologi itu juga berkata, penemuan
rangka berkenaan yang digelar 'Seberang Perai man' bakal mengukuhkan Guar Kepah
sebagai peta arkeologi dunia.
“Rangka ini penting kepada negara dan rantau dan juga dunia
kerana dia dikebumikan dalam cengkerang. Di Lenggong, kita jumpa rangka
(berusia) 5,000 tahun, tetapi dikebumi di dalam gua.
“Di Semenanjung, ini tak pernah ditemui dan ia jelas
mewakili zaman Neolitik," katanya.
Mokhtar berkata, setakat ini, fakta jelas mengenai komuniti
Neolitik di Guar Kepah ialah mereka hidup di tepi laut serta menjadikan hidupan
laut seperti kepah dan kerang sebagai makanan, selain memburu binatang seperti
rusa dan babi.
Kerja-kerja ekskavasi masih lagi dijalankan di 60 petak yang
ditanda di tapak berkenaan bagi mengkaji sama ada komuniti Neolitik di Guar
Kepah mempunyai kaitan dengan penempatan awal di Sungai Batu, Lembah Bujang,
Kedah.
Semua rangka yang ditemui itu akan ditempatkan di Galeri
Arkeologi di Guar Kepah yang dijangka siap sepenuhnya pada Oktober ini .
Beliau percaya, dengan adanya galeri berkenaan ia akan
memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat artifak sejarah itu dengan
lebih dekat dan jelas.
Sebelum ini, 37 rangka yang ditemui pengkaji Inggeris di
tapak sama pada tahun 1850 dikatakan disimpan di Universiti Leiden, Belanda.
Minggu lepas, tulang rangka dipercayai milik manusia purba
ditemui pada kedalaman dua meter ketika kerja-kerja mengorek tanah untuk
pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah.
Dilaporkan bahawa kontraktor yang menjalankan kerja korek
tanah di Galeri Arkeologi Guar Kepah pada 17 April menemui rangka dipercayai
milik manusia purba, menyebabkan kerja-kerja dihentikan.
Ulasan
Catat Ulasan