Wanita hampir telan berlian ketika makan telur
London – Seorang wanita di England yang bakal melangsungkan
perkahwinan tidak lama lagi, dianggap bertuah apabila menemui sebutir berlian
dengan cara paling yang tidak disangka.
Sally Thomson, 39, seperti dilaporkan portal Mirror.uk,
hampir menelan berlian itu apabila memakan sebiji telur rebus ketika bersarapan
di rumahnya baru-baru ini.
Pada awalnya, dia merasakan sesuatu dalam mulutnya ketika
mengunyah telur tersebut tetapi terkejut apabila mendapat benda keras itu
merupakan batu yang menyerupai berlian.
Sally yang akan berkahwin dengan tunangnya, Steven Warwick
pada Mei ini, berasa cukup gembira dengan penemuan itu apatah lagi menjelang
hari bahagianya kira-kira dua bulan lagi.
“Saya cuba menurunkan berat badan sebelum hari perkahwinan
dan hanya memakan telur rebus setiap kali bersarapan.
“Pada mulanya saya
berasa pelik kerana terfikir daripada mana berlian itu muncul.
“Kemudian baru saya sedar, ia datang daripada telur
berkenaan,” katanya.
Sally turut berkongsi tentang penemuan berlian itu menerusi
laman sosial Facebook dan rata-rata netizen menganggapnya sebagai wanita
bertuah.
Namun ada penternak ayam mendakwa kemungkinan ayam yang
mengeluarkan telur tersebut termakan berlian itu secara tidak sengaja.
Sally membawa berlian itu ke kedai emas tempatan dan
mendapati ia bukan berlian sebenar tetapi merupakan Cubic Zirconia, batu
kristal yang menyerupai berlian.
Berat batu itu tidak dapat dipastikan tetapi berdasarkan
harga pasaran semasa, dua gram Cubic Zirconia berharga kira-kira AS$30 (RM120)
dan boleh digunakan sebagai hiasan untuk cincin perkahwinan.
Ulasan
Catat Ulasan