Siti Kassim Jahil Agama, Menjurus Ke Arah Murtad – Mufti P.Pinang
PETALING JAYA – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd
Nor menyifatkan peguam kontroversi Siti Kasim sebagai seorang individu yang
jahil agama.
Bercakap kepada sebuah laman portal Wan Salim berkata,
tindakan wanita itu yang juga seorang aktivis dalam mempersoalkan tentang
kewujudan tuhan jelas menunjukkan beliau seorang yang cetek ilmu tentang Islam
dan boleh menjurus ke arah murtad.
“Bila dia buat kenyataan macam itu maknanya dia sebagai
seorang Muslim, kita bimbang akidah dia terkeluar daripada Islam dan menjadi
murtad,” katanya seperti dilaporkan.
Wan Salim berkata, beliau menyarankan agar Siti Kasim
kembali ke jalan dengan mendalami pengajian akidah Islam.
“Saya sangat mengalu-alukan kalau Siti Kasim berbincang
secara tertutup dengan pakar akidah termasuk pakar saintifik yang boleh beri
keterangan kerana orang macam dia perlu diberi pemahaman bukan dengan cara
tradisional tetapi dikaitkan dengan perkembangan sains,” ujarnya.
Beliau berkata, Siti Kasim mungkin terpengaruh dengan
sesetengah pandangan barat yang sudah hilang kepercayaan terhadap agama.
“Bagi mereka agama tidak boleh selaras dengan perkembangan
sains, tapi kita dalam Islam, semakin majunya sains, makin dapat dibuktikan
kebenaran Islam, termasuk dari sudut kepercayaan.
“Jadi bagi orang ateis, mereka ini ada sebab tertentu kenapa
tidak percaya kepada Tuhan dan antaranya ialah kerana psikologi.
“Mungkin Siti Kasim dipengaruhi suasana rumah tangga semasa
kecil dan sebagainya, sebab itu kita kena simpati kepada orang seperti ini.
“Kita kena bimbing dia ke jalan yang benar, tapi terpulang
kepada dia setelah kita usaha dia tidak terima apa boleh buat, yang penting
kita tidak beremosi dan tangani benda ini dengan bijaksana,” katanya. –
MalaysiaGazette
Ulasan
Catat Ulasan