Video Anak Berang Rosakkan Kereta Penyerang Bapanya
Gara-gara berang dengan tindakan lima lelaki yang menyerang
bapanya, seorang lelaki bertindak menghancurkan kereta yang ditinggalkan suspek
dengan sebatang kayu.
Lelaki berusia sekitar 20-an itu bersama ibunya bertindak
memecahkan cermin dan beberapa bahagian lain walaupun orang ramai cuba
menenangkan keadaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd.
Rowi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa dan
isterinya dalam perjalanan ke gerai jualannya di kompleks perikanan.
"Tiba-tiba kereta yang dinaiki mangsa dipintas sebuah
kereta Perodua Axia berwarna putih yang dipercayai dinaiki lima lelaki.
"Empat daripada mereka keluar daripada kereta terbabit
dengan bersenjatakan pedang dan menutup sebahagian muka mereka dengan kain dan
telah bertindak menetak cermin hadapan kereta mangsa," katanya kepada
Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, salah seorang daripada suspek
kemudiannya menetak tangan kanan mangsa sebelum melarikan diri.
Ujarnya, kejadian telah dilihat salah seorang anak lelaki
mangsa lalu bertindak mengejar mereka sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki
kesemua suspek terbabas 500 meter dari tempat kejadian.
"Anak lelaki mangsa yang berusia 20-an dan ibunya yang
berusia 50-an hilang sabar sehingga merosakkan kenderaan itu," ujarnya.
Mohd. Zamri berkata, pemeriksaan pada kereta Perodua Axia
yang digunakan kesemua suspek didapati merupakan kenderaan curi kerana
menggunakan nombor pendaftaran palsu dan siasatan mendapati kereta itu telah
dilarikan di Kerteh, Kemaman beberapa bulan lalu. Sumber : Hishamuddin Ahmad
Zaki
Anak Berang Rosakkan Kereta Penyerang Bapanya pic.twitter.com/SnkAkMsMSU— Wartawan Jalanan (@W_Jalanan) 14 Februari 2017
Ulasan
Catat Ulasan