Majikan Binatang: Pemuda Berusia 21 Tahun Didera Majikan.

Johor Bahru: Pemuda berusia 21 tahun yang juga pekerja gerai menjual haruman kereta cedera di tangan, bahu, telinga dan mulut dipercayai akibat menjadi mangsa penderaan majikan di Taman Johor Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Jokhiri Abd Aziz berkata, mangsa dipercayai dirotan serta dipukul oleh majikan lelaki berusia 30-an.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di bangunan rumah kedai di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya yang dihuni mangsa bersama keluarga majikannya.

Menurutnya, perbuatan majikan didakwa terbongkar selepas keluarga mangsa berkunjung ke kediaman berkenaan dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak bermaya.

"Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada keluarga mangsa semalam.

"Mangsa yang sudah diselamatkan ahli keluarga kini menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Polis menyisat kes berkenaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (mencederakan dengan senjata) dan hingga kini belum ada sebarang tangkapan kerana suspek bersama keluarganya bertindak menghilangkan diri," katanya.

Polis meminta kerjasama ramai yang memiliki maklumat berkaitan suspek berkenaan menghubungi talian Hotline Polis Kontinjen Johor di 07-2212999 atau Hotline Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-3864222.









Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.