Kami Akan Saman Malu - Peguam Faizz Nur
Peguam bapa saudara anak mangsa nahas Lebuh
Raya Duta-Ulu Kelang (Duke), Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar mendakwa pihaknya
mempunyai segala bukti untuk menangkis segala tuduhan yang dikemukakan oleh ibu
saudara dua beradik itu, Yusnida Hussain.
Kata Muhamad Akmal, pihaknya mempunyai bukti-bukti seperti
slip transaksi bank dan rekod-rekod lain bagi membuktikan dakwaan sebenar
terhadap Muhammad Faizznur Asyraf Husain.
"Duit sumbangan (orang ramai) masih ada. Tidak ada
masalah tentang itu. Kami sedang bersedia mengumpul bukti untuk dibawa ke
mahkamah nanti," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Mahkamah hari ini memutuskan, kedua-dua bapa saudara
kanak-kanak malang itu gagal untuk mengetepikan perintah membekukan akaun
mereka yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.
Ini susulan Mahkamah Tinggi Syariah mengekalkan perintah
membekukan tiga akaun bank itu dan menolak permohonan Hamlizar Husain dan
Muhammad Faizznur Asyraf Husain yang mencabar perintah berkenaan.
Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz membuat keputusan
memerintahkan akaun itu dibekukan sehingga kes membabitkan hak penjagaan dan
nafkah kanak-kanak tersebut iaitu Nur Firuza Amira, 8, dan Nur Firuza Aqila, 4,
selesai.
Sebelum ini, Muhammad Faizznurr didakwa hanya menyerahkan
RM12,000 daripada RM300,000 hasil sumbangan orang ramai kepada dua kanak-kanak
terbabit.
Oleh yang demikian, Muhamad Akmal berkata pihaknya juga akan
mengemukakan saman malu terhadap ibu saudara dua beradik, Yusnida dan suaminya
berikutan tuduhan pecah amanah yang dibuat ke atas Muhammad Faizznur.
"Kami akan keluarkan saman malu selepas notis tuntutan
dikemukakan kepada Yusnida dan suaminya.
"Sidang media yang diadakan telah mengemukakan tohmahan
yang tidak berasas (kepada Muhammad Faizznur) dan kami punya bukti yang sangat
kukuh bahawa Muhammad Faizznur tidak bersalah," katanya lagi.
Menurutnya lagi, tindakan Yusnida mengadakan sidang media
tergempar tempoh hari hanya memburukkan keadaan dan mengganggu prosiding
mahkamah yang sedang berjalan ketika itu.
Akibat daripada tindakan Yusnida, katanya, Muhammad Faizzur
dan keluarga berdepan ugutan dan ancaman oleh masyarakat sekeliling.
"Orang ramai yang tidak tahu hal sebenar telah
mengecamnya menerusi media sosial dan Muhammad Faizznur juga menerima ugutan
bunuh selepas dakwaan Yusnida tersebar di media sosial," ujarnya lagi.
Ujarnya lagi, pihaknya juga akan mengadakan sidang media
dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan semasa kepada seluruh masyarakat
negara ini.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan