Video: Bayi Masih Bertali Pusat Dijumpai Di Perhentian Bas.
Butterworth – Seorang bayi perempuan yang masih bertali
pusat ditemukan dalam sebuah beg warna ungu oleh beberapa pelajar sekolah di
perhentian bas di Bagan Ajam, Teluk Air Tawar, di sini hari ini.
Jururawat Masyarakat Klinik Desa Bagan Ajam Sabariah Abdul
Ghani, 36, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru
memaklumkan beberapa pelajar sekolah berhampiran menemukan seorang bayi
perempuan di tempat kejadian.
“Saya tiba di sana kira-kira pukul 8.10 pagi dan mendapati
seorang bayi perempuan telah ditinggalkan di dalam beg plastik dan terdapat
kesan gigitan serangga di badannya.
“Saya mengagak bayi tersebut sudah 24 jam dilahirkan
berdasarkan tali pusatnya yang sudah kering,” katanya ketika dihubungi, di sini
hari ini.
Beliau berkata sehelai kain dan uri turut ditemukan
bersama-sama bayi perempuan itu sebelum dibawa ke Klinik Desa Bagan Ajam.
“Kami bersihkan dia dan memberinya suntikan mencegah
pendarahan yang merupakan prosedur rutin agar bayi berkenaan tidak mengalami
sebarang komplikasi yang lain. Bayi itu dalam keadaan selamat dan telah dibawa
ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjutan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP
Azmi Adam berkata polis sedang melakukan beberapa semakan di klinik dan
hospital berhampiran bagi mengesan ibu bayi berkenaan.
“Polis akan
menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti sama ada kawasan itu mempunyai
kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan siapa yang meletakkan bayi berkenaan
di situ,” katanya.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu agar tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – Bernama
Ulasan
Catat Ulasan